Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui rentung, manakala datuk dan sepupunya, yang merupakan orang kurang upaya, melecur selepas rumah kayu didiami mereka musnah dalam kebakaran hari ini.

    

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah setempat, kejadian berlaku di Jalan Tuaran Bypass, Kampung Inanam Laut Kalansanan dekat Kota Kinabalu pukul 11.26 pagi.

    

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas tiba di tempat kejadian empat minit kemudian dan berjaya mengawal kebakaran kira-kira 11.51 pagi.

    

Lelaki berumur 60-tahun itu melecur di tapak tangan, tapak kaki dan bahagian belakang, manakala kanak-kanak perempuan OKU berumur enam tahun pula melecur di bahagian muka.

    

Punca kejadian sedang siasat dan mayat kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk bedah siasat, manakala dua mangsa lain dihantar ke Hospital Likas dekat sini untuk menerima rawatan.

Sementara itu, tiga buah rumah musnah dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada api lilin di Kampung Gas dekat Sandakan pagi tadi.

    

Kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu menyebabkan 30 penghuninya tinggal sehelai sepinggang.

    

Faizul Norazman, 20, berkata kebakaran bermula dari rumahnya sebelum merebak ke dua buah rumah lagi yang terletak bersebelahan antara satu sama lain.

    

Beliau berkata beliau memasang lilin di bilik tidurnya ekoran bekalan elektrik terputus dan hanya menyedari berlaku kebakaran apabila terdengar jeritan adiknya dan mendapati api sudah merebak.

    

"Saya bersama tiga adik dan tiga adik sepupu saya terus keluar dari rumah menyelamatkan diri tanpa sempat menyelamatkan apa-apa barang termasuk dokumen pengenalan diri saya," katanya kepada Bernama.

    

Pihak bomba dan penyelamat menghantar tiga jentara bersama 14 anggota bomba ke tempat kebakaran.

    

ADUN Sekong, Datuk Samsuddin Yahya melawat mangsa dan memberi sumbangan.

    

Jabatan Kebajikan Masyarakat turut memberi bantuan makanan.

    

- Bernama