Sebuah konsesi belum setuju pengambilalihan
Tiga buah konsesi bersetuju dengan tawaran pengambilalihan oleh kerajaan Selangor, menjadikan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) satu-satunya syarikat yang enggan menerimanya.
Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) bersetuju syarikat konsesi airnya – Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) – diambil alih oleh Selangor, tertakluk kepada persetujuan rasmi pemegang saham kedua-duanya setelah mesyuarat agung khas (EGM).
Mengikut persetujuan itu, PNHB menerima tawaran Selangor untuk mengambil alih segala ekuiti, aset dan liabiliti PNSB dan SYABAS masing-masing berjumlah RM2.47bilion dan RM3.11 bilion.
Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama Tan Sri Khalid Ibrahim dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili hari ini yang diedarkan oleh sekretariat akhbar menteri besar.
Sebelum ini pemegang saham ABASS bersetuju kepada tawaran pengambilalihan yang disokong pemegang sahamnya pada harga RM990 juta.
“Dengan penerimaan tawaran oleh PNSB, SYABAS dan ABASS, kerajaan negeri Selangor bersetuju untuk meneruskan penstrukturan perkhidmatan air negeri Selangor dengan perbincangan ke arah menandatangani perjanjian jual beli saham antara KDEB (Kumpulan Darul Ehsan Berhad) dan pemegang saham kepada ketiga-tiga syarikat konsesi yang disebut di atas,” katanya.
Kerajaan negeri dan pusat percaya persetujuan untuk meneruskan penstrukturan yang dicapai hari ini langkah pertama ke arah peningkatan pemantapan industri perkhidmatan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sementara itu, kata Khalid dan Maximus berkata, memandangkan pemegang saham Splash masih tidak bersetuju, persetujuan dicapai antara pusat dan negeri supaya bayaran bekalan air pukal kepada konsesi itu disemak semula bagi mendapatkan harga munasabah.
Selangor bagaimanapun masih bersedia meneruskan pengambilalihan Splash jika harga yang ditawarkan pada 26 Februari 2014 dipersetujui.
Sementara itu, dengan persetujuan terbaru dua lagi syarikat konsesi, kerajaan pusat dengan sokongan negeri memutuskan untuk menangguh penguatkuasaan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).
Ini kerana, menurut kenyataan itu, ketika ini tiada keperluan untuk menguat kuasa akta itu ke atas industri perkhidmatan bekalan air Selangor.
Khalid dan Maximus bermesyuarat berhubung perkembangan terbaru itu pagi tadi, yang antaranya mendapat kata sepakat untuk mempercepat penubuhan dan perjalanan jawatankuasa untuk memantau pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (Skim LRAL2).

