Penguatkuasa KDN ditahan bantu siasat VCD haram
Seorang penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung tuntutan wang perlindungan kegiatan penjualan cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) haram di sekitar Pulau Pinang.
Penguatkuasa KDN itu adalah antara dua lelaki yang ditahan dalam operasi khas di sekitar negeri ini semalam.
Menurut sumber SPRM, seorang lagi yang ditahan ialah pengusaha premis VCD dan DVD yang cuba menyogok pihak berkuasa bagi mengelak dikenakan tindakan kerana menjalankan perniagaan secara tidak sah.
"Kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan bagi membantu siasatan dan keterangan mereka direkodkan di ibu pejabat SPRM negeri," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk M. Samarajoo ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan itu, tetapi enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.
- Bernama

