Kerajaan negeri Pulau Pinang diminta menjelaskan isu berhubung kontrak Mufti Negeri Datuk Seri Hassan Ahmad, 72, yang tidak disambung semula selepas tamat bulan hadapan.     

ADUN Pulau Betong Muhamad Farid Saad berkata penamatan kontrak itu tidak munasabah berikutan kredibiliti Hassan yang sering menjadi pakar rujuk bagi kebanyakan agensi agama Islam.  

"Mufti seorang yang disegani dan beliau masih sihat untuk berulang alik dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dan mampu untuk menjalankan tugas sebagai mufti," katanya dalam sidang media hari ini.  

Muhamad Farid sebelum itu telah membangkitkan isu berkenaan pada perbahasan ucapan terima kasih Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dalam persidangan Dewan Undangan negeri (DUN) di Georgetown.

- Bernama