Amerika tiada masalah protes TPPA pada Obama
Siswa Universiti Malaya (UM) yang disiasat kerana mempamerkan plakad anti Perjanjian Perdagangan Trans Pasifik (TPPA) dalam pertemuan dengan Barack Obama kini mungkin boleh menarik nafas lega.
Ini kerana, kata Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) Lee Jin Yang, duta negara itu sudah memaklumkan padanya bahawa mereka tiada masalah mahasiswa mempraktikkan kebebasan bersuara.
Perkara itu dimaklumkan dalam surat balasan duta Amerika Syarikat di Kuala Lumpur Joseph Y Yun padan MPMUM kelmarin.
"Apabila kami membantah untuk kebaikan rakyat Malaysia, universiti di negara ini cuba untuk menghukum kami, sementara Amerika menyokong (kebebasan) kami. Kami berasa sedih dengan tindakan itu,” katanya.
Beliau berkata, untuk maju ke depan, UM perlu memperkukuh demokrasi kampus dan Akta Universiti dan Kolej Universiti mesti dimansuhkan terus.
Lee dan tiga lagi mahasiswa – Fahmi Zainol, Leong Yu Sheng dan Anis Nabihah Alias – diberi surat tunjuk sebab ekoran protes ringkas pada 27 Mei lalu.
Selain menentang TPPA, keempat-empat pemimpin pelajar itu sebelum ini turut mengangkat plakad pro presiden Mesir yang digulingkan Mohamed Mursi dalam program Inisiatif Kepimpinan Muda Asia Tenggara.
Salinan surat yang dilampirkan bersama kenyataan medianya itu antaranya menyebut bahawa negara kuasa besar itu mengiktiraf kebebasan bersuara dan mengadakan bantahan secara aman.
Dalam surat itu juga disebut AS tiada sebab untuk membangkitkan isu itu atau meminta UM menyiasat mahasiswa terbabit.
Pihak kedutaan AS mengesahkan keaslian surat itu ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.
Malaysiakini juga sedang mendapatkan reaksi UM berhubung perkembangan terbaru itu.

