Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid berkata satu laporan polis perlu dibuat terhadap ADUN DAP Seri Delima R.S.N Rayer kerana mengulangi perbuatan mengeluarkan kenyataan berbentuk provokasi yang boleh mengundang ketegangan dan kekacauan.

    

Beliau menyifatkan tindakan Rayer yang mengulangi menggelar Umno 'celaka' dalam ceramahnya semalam sebagai angkuh sehingga merasakan dirinya bebas untuk mencemuh atau memaki orang.

    

"Rayer sebelum ini meminta polis memberi perlindungan 24 jam kepadanya. Dia minta perlindungan sedangkan dia sendiri tidak tahu menjaga dirinya. Apa yang melayakkan dia mendapat perlindungan 24 jam? Adakah untuk membolehkan dia mengeluarkan lagi perkataan kesat?," katanya kepada pemberita dalam sidang media selesai sesi pengulungan sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

    

Jahara berkata beliau tidak nampak usaha Rayer untuk meredakan keadaan yang disebabkan provokasi yang dilakukannya dalam sidang DUN baru-baru ini sebaliknya bangga dengan tindakan itu.

      

Terdahulu, Jahara yang mencelah ketika Lim menggulung ucapan usul terima kasih Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, mempersoal keikhlasan kerajaan negeri untuk membetulkan kesilapan yang berlaku.

    

Bagaimanapun, Lim berkata: "Keputusan dibuat oleh Speaker (Datuk Law Choo Kiang-PKR-Bukit Tambun) dan diurus oleh Speaker, saya bukan Speaker, saya adalah ketua menteri yang mewakili kerajaan. Saya tidak mahu masuk campur keputusan yang dibuat oleh Speaker," katanya.

    

- Bernama