Laman web janji atasi segera pencerobohan
Laman web proreformasi yang diceroboh awal pagi semalam mengeluarkan kenyataan hari ini bahawa masalah teknikal tersebut akan diatasi segera. Pengelola Laman Reformasi percaya dengan sokongan kepakaran rakan-rakannya, masalah pencerobohan itu dapat diatasi.
"Saya berterima kasih kepada rakan-rakan proreformasi yang sudi menyumbangkan kepakaran mereka bagi menyelesaikan masalah ini. Insya Allah ia akan dapat diatasi," kata satu [#1] kenyataan[/#] yang dikirim ke malaysiakini malam ini.
Pengendali itu juga mengecam tindakan penceroboh yang mempamerkan gambar lucah pada webnya. Beliau menyifatkan pencerobohan itu sebagai "kegemparan budaya" daripada pihak yang "sempit dan korup mindanya."
Bagaimanapun, pengendali Laman Reformasi berasa 'terganggu' melihat cara pencerbohan yang mempamerkan gambar sedemikian.
"Pelbagai persoalan bermain di dalam minda saya dan persoalan-persoalan ini turut mengganggu jiwa dan ketenteraman minda saya," katanya lagi.
Sementara laman Mahafiraun 2020 melahirkan rasa kesal dan sedih terhadap tindakan "biadab dan tidak senonoh" penceroboh Laman Reformasi yang dianggap 'penghulu' pengendali web.
"Satu Mahazalim jatuh, seribu yang bangkit," kata [#2] pengendalinya[/#] .
'Mahazalim' merupakan nama popular bagi laman web yang diceroboh itu. Ia diasaskan sejak beberapa hari selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipecat daripada kerajaan dan Umno pada September 1998.
Sebuah lagi tapak web proreformasi, Komentar , juga mengecam tindakan pencerobohan itu.
"Komentar mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan ke atas laman web refomasi dan (tindakan) ini menyimpang daripada laungan mereka tentang kebebasan dalam internet," kata satu [#3] kenyataan[/#] di laman itu.
"Mereka (penceroboh web) boleh mencabuli mana-mana laman yang mereka suka, termasuk laman ( Komentar ) ini tetapi jangan jadikan budaya lucah sebagai pegangan mereka," katanya lagi.
Pengendali-pengendali itu sedar kegiatan mereka sentiasa berdepan dengan risiko seumpama itu.
Malaysiakini awal pagi semalam mendedahkan pencerobohan itu berlaku dengan memaparkan foto lucah perhubungan jenis luar tabie antara dua lelaki.
Tinjauan petang ini menunjukkan imej foto tersebut tidak boleh dicapai pada laman yang diceroboh itu. Bagaimanapun, mesej yang ditinggalkan masih sama.
Penceroboh yang memperkenalkan dirinya sebagai 'Hackers Junior' itu menyerang Laman Reformasi sekitar jam 12:55 tengah malam dan menamakan laman itu sebagai "laman hehehe reformasi."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.