Hujung minggu ini, Parti Rakyat Malaysia akan mengadakan Kongres ke-33. Jika PRM seorang insan, maka insan ini telah melintasi zaman remajanya. Insan yang bernama PRM mendewasa dan telah cukup mengumpul pengalaman. Pada umur sedewasa ini pastilah ia sedang rancak berkreatif menyusun kader untuk melahirkan dunia baru yang berpandukan ideologinya.

Tetapi ini bukan satu kenyataan. Hakikatnya, PRM telah menjadi sebuah parti politik yang kecil. Parti ini belum berupaya untuk menjala jauh ke tengah lautan politik nasional, apatah lagi dunia politik antarabangsa.

Sebagai sebuah parti politik, PRM kaya dengan sejarah perjuangan. Penuh dengan pengorbanan dan kekecewaan. Disalur juga dengan sejarah kekeliruan garis politik dan pembelotan. Semua ini menjadi guru terbaik kepada kader-kader PRM.

Parti Rakyat Malaya lahir dalam arus sejarah kolonial menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan tulen. Penjajah Inggeris pada 20 Jun 1948 telah mengisytiharkan darurat untuk menekan gelombang rakyat yang sedang menuntut kemerdekaan.

Parti-parti politik nasionalis kiri, Islamik progresif, sosialis dan komunis telah menjadi sasaran penindasan penjajah. Pemimpin dan kader-kader Kesatuan Melayu Malaya, Parti Komunis Malaya, Angkatan Pemuda Insaf dan Hizbul Muslimin telah ditangkap, diburu atau dibuang negeri.

Golongan komunis dan golongan nasionalis kiri yang gagal ditangkap Inggeris telah berkumpul kembali untuk memulakan perjuangan bersenjata melawan British. Dalam gelora politik menentang Inggeris inilah, lahirnya Parti Rakyat di bawah pimpinan Ahmad Boestamam yang sebelum ini memimpin Angkatan Pemuda Insaf.

Parti Rakyat telah mengambil jalan pilihan raya sebagai garis politik dan membuka pintunya kepada semua bangsa. Tetapi lubuk sokongannya masih datang daripada bangsa Melayu. PRM menjadi tempat petani Melayu, kaum buruh Melayu, penduduk miskin kota dan golongan inteligensia Melayu berkumpul.

Pada tahun-tahun sesudah merdeka, melalui persyarikatan dengan Parti Buruh Malaya, di bawah bendera Front Sosialis, Parti Rakyat telah memperlihatkan ketrampilan dan kecemerlangan.

Front Sosialis yang cukup berpengaruh terus diganyang dan diancam pemerintah. Dengan bertopengkan undang-undang, kerajaan Perikatan telah menangkap dan memenjarakan ramai kader Front Sosialis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tindakan seperti ini telah mendewasakan rakan setia Parti Rakyat yang melihat kemustahilan jalan pilihanraya. Lalu pada tahun 1969, Parti Buruh Malaya telah mengambil jalan memboikot pilihanraya.

Apabila Front Sosialis dibubarkan, maka tinggallah Parti Rakyat keseorangan dalam usaha membawa ombak nasionalis kiri melalui jalan pilihanraya hingga ke hari ini.

Suasana politik pasca 2 September 1998 telah membawa satu gelombang kesedaran politik baru terutama kepada bangsa Melayu. Parti Umno yang selama ini dikritik sebagai parti tajaan Inggeris akhirnya pecah tembelang. Pergolakan dalaman Umno kini telah melahirkan kemungkinan-kemungkinan baru yang sebelum ini agak sukar untuk dijana.

Suasana politik pasca 2 September ini juga telah melahirkan Parti KeADILan dengan laungan 'reformasi'. Laungan reformasi ini sedang menghakiskan kepercayaan anak-anak muda Melayu terhadap kewibawaan Umno.

Reformasi juga telah dan sedang mengegarkan wacana lanskap politik. Hari ini lanskap politik Malaysia sama seperti hutan dara terbakar yang telah dibasahi oleh hujan lebat apa saja boleh ditugal.

Justeru kenyataan PRM dan KeADILan tentang keinginan mereka untuk mendirikan rumah tangga wajib dilihat dalam konteks kesuburan lanskap politik ini. Bagi PRM jika perkahwinan ini berlangsung, maka ia merupakan perkahwinan kedua. Cinta asal PRM ialah bersama Parti Buruh Malaya.

Dari segi dasar memang dilihat cukup enteng untuk menggabungkan kedua-dua parti ini. Parti Rakyat yang tidak mempunyai ramai ''rakyat'' akan mendapat rakyat dari KeADILan. Manakala KeADILan yang ramai rakyat tetapi belum mengenal erti ''keadilan'' akan diberi nilai dan falsafah keadilan oleh Parti Rakyat. Tetapi dari segi mekaniknya penggabungan dua buah parti politik tidak boleh dianggap mudah.

Akan timbul dua pertembungan budaya politik dari dua arus parti yang berbeza. Kader-kader PRM telah terdidik dalam budaya dan disiplin untuk tidak bermain di lubuk kemelayuan atau di lubuk Islam. Mereka juga naif dalam hal ''politiking''. Mereka tidak pernah tahu atau diajar berebut-rebut jawatan, kawasan atau berlumba-lumba untuk menjadi calon. Untuk mereka, jawatan hanya tugas yang telah diamanahkan oleh parti. Membantu dan menyedarkan rakyat ialah budaya utama.

Keadaan ini agak berbeza dengan beberapa jalur budaya berpolitik yang sedang wujud dalam KeADILan. Pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memecahkan empangan politik Umno. Beberapa kumpulan telah melihat ''empang pecah'' ini sebagai peluang untuk menangguk tenaga-tenaga baru yang berkeliaran dalam arus reformasi. Justeru, mereka mewujudkan KeADILan.

Kumpulan-kumpulan ini bekas Umno, ahli ABIM dan aktivis NGO ketika ini sedang berpayung bawah KeADILan. Setiap kumpulan ini membawa budaya kerja dan budaya politik masing-masing.

Disebabkan KeADILan baru berumur setahun jagung, maka jalur-jalur budaya politik yang berbeza ini belum mengenap untuk membajai budaya yang baru. Ledakan lava gunung berapi reformasi masih menjalar cair dan belum membeku untuk menjadi ideologi perjuangan.

Mungkin dari kacamata kader-kader PRM perkara-perkara ini telah jelas dan mereka berwaspada. Pengalaman yang menjadi guru mereka telah mengajar mereka cara menangkis dan menepis budaya-budaya ''politiking'' yang tidak bersangkut paut dengan perjuangan rakyat. PRM berupaya untuk mengenal sekilas ikan di air.

KeADILan berharap perkahwinan ini akan dapat menguruskan daya kreatif dan tenaga muda untuk menjadi satu ketumbukan politik yang ampuh dan berkesan. PRM yang mempunyai pemimpin berpengalaman dan teruji pasti dapat bersama dengan tenaga muda untuk mengkristalkan cita-cita dan harapan reformasi.

Rakyat biasa, para OKT (orang kena tahan/tuduh), aktivis demonstrasi, dan para reformis melihat perkembangan ini dengan hati terbuka. Mereka berharap penggabungan ini bukan perkahwinan mutaah (kontrak) tetapi perkahwinan yang akan melahirkan budaya politik baru.

Bagi para reformis, siapa jadi apa, jawatan itu untuk siapa atau bahagian ini calonnya siapa adalah budaya Umno yang wajib ditinggalkan.

Apa maha penting ialah menaikkan kesedaran rakyat. Tugas utama kader parti politik bukan untuk jadi calon wakil rakyat tetapi untuk menyedarkan rakyat. Rakyat yang sedar adalah gelombang ampuh yang akan menumpaskan semua bentuk kezaliman.

Selamat berkongres.


HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho. Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi. Dalam DOTMAI beliau akan menulis isu-isu politik semasa, filem, seksualiti hingga kepada isu estetika kebosanan hidup.