Kementerian Pendidikan menyerahkan surat hasrat kepada syarikat kontraktor bagi pembinaan bangunan tambahan lima Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pendidikan Kedua P.Kamalanathan berkata SJKT terbabit ialah di Ladang Sungai Reyla (Perak), Ladang Brauston (Selangor), Ladang Lanchang (Pahang), Ladang Sagga (Negeri sembilan) dan Ladang Kelan (Johor), yang merupakan sebahagian daripada projek membabitkan 39 SJKT yang dirancang pada 2012 namun ditangguh kerana pelbagai sebab, antaranya, membabitkan isu teknikal.
"Anggaran jumlah kos asal untuk kerja-kerja pembinaan bangunan tambahan lima SJKT ini ialah RM8 juta tapi jumlahnya telah meningkat kepada RM29 juta selepas mendapat persetujuan bersama antara pihak kontraktor dan kementerian," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat hasrat kepada lima kontraktor untuk projek berkenaan di Putrajaya semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kelewatan projek membabitkan SJKT Kuala Terla (Pahang), SJKT Rumbia (Melaka) serta SJKT Taman Desa Pinji di Perak adalah disebabkan kontraktor tidak setuju dengan harga yang ditetapkan sebelum ini, maka harga baru dibentang kepada Lembaga Perolehan dan Kementerian Pendidikan dan kini sedang menunggu keputusan.
Katanya, projek membabitkan 10 SJKT lagi masih dalam proses rundingan harga dan mendapatkan persetujuan bersama.
- Bernama
