Jakim enggan ulas demo makan Cadbury
Diterbitkan: Jun 7, 2014 11:55 AM | Dikemas kini: Jun 7, 2014 3:38 PM
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) enggan mengulas berhubung keraguan berterusan orang ramai terhadap produk Cadbury, termasuk kesediaan pegawainya mengadakan demonstrasi memakan coklat itu.
Timbalan Ketua Pengarah Jakim Datuk Razali Shahabuddin ketika ditemui menolak pertanyaan pemberita menjawab ringkas:
"Hanya pengarah Jakim boleh menjawab soalan itu".
"Saya tak boleh jawab, hanya pengarah sahaja boleh jawab soalan," katanya dalam majlis pelancaran konvoi bermotor (
kiri
) di Masjid Wilayah Persekutuan di ibu kota, pagi tadi.
Pada 3 Jun lalu pegawai Jakim dilaporkan menyatakan kesediaan mengadakan
demonstrasi
memakan coklat kontroversi Cadbury Confectionery Sdn Bhd bagi membuktikan status halalnya.
Astro Awani
melaporkan pengarah kanan bahagian hab halal JAKIM Mohd Amri Abdullah sebagai berkata, ia bagi menunjukkan bahawa mereka berpegang kepada keputusan bahawa produk itu sebenarnya halal.
Sebaik sahaja acara pelepasan konvoi 250 buah motor berkuasa tinggi di lapangan depan masjid wilayah persekutuan itu, pemberita terus mengajukan soalan mengenai isu status halal produk coklat Cadbury yang masih menjadi keraguan masyarakat.
Namun, Razali mengelak daripada menjawab semua soalan dengan meletakkan kuasa menjawab di tangan ketua pengarah JAKIM.
Kemudian, beliau keluar daripada kepungan wartawan terus menuju ke serambi masjid bagi mengelak disoal wartawan.
Bagaimanapun, beliau sekali lagi diasak dengan soalan yang sama namun Razali masih tetap menegaskan "hanya pengarah Jakim yang boleh jawab soalan itu".

