Coli sebagai karya seni, tonjol isu tabu
Diterbitkan: Jun 8, 2014 10:21 AM | Dikemas kini: Jun 8, 2014 10:36 AM
Jarang sekali pakaian dalam wanita menjadi tajuk perbincangan, tetapi lain pula keadaannya bagi satu pameran seni yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, hujung minggu lalu.
Artis muda tersebut, Louise Low menggunakan puluhan baju dalam wanita, yang dilekatkannya di atas sebuah kerusi bagi menonjolkan isu tabu dalam budaya Asia.
Baju dalam yang berwarna-warni itu juga dilekatkan di dinding dewan pameran, yang menarik perhatian pengunjung ke pameran '1 Cares' itu.
Selain karya Low, program dua hari anjuran Pusat Sekitar Seni, satu komuniti seni yang berpangkalan di Padang Jawa, Shah Alam itu juga menampilkan karya dari 17 artis muda lain, termasuk dari negara jiran.
Lebih 50 orang pengunjung yang hadir ke program berkenaan turut berpeluang berinteraksi melalui program Sama Seiring Sama Sejalan – melibatkan program bengkel, demonstrasi seni, dan juga persembahan teater kanak-kanak.
Seramai lapan orang kanak-kanak yang menjayakan teater tersebut menggunakan kadbod untuk menyampaikan satu kisah bencana alam di sebuah bandar.
Kanak-kanak tersebut menceritakan mengenai ketamakan sekumpulan pemodal yang membeli tanah dari sekumpulan penduduk kampung.
Kumpulan pemodal berkenaan seterusnya membina pelbagai bangunan di kampung tersebut. Bagaimanapun, pembangunan yang pesat tersebut menyebabkan banjir besar berlaku.
Menurut salah seorang koordinator program tersebut, Aisyah Baharuddin, program tersebut bertujuan untuk menyatukan artis serumpun itu dengan kegiatan seni dan interaksi masyarakat.
Turut terlibat dalam kegiatan itu ialah sukarelawan program pertukaran buku dinamakan Buku Jalanan dan juga kumpulan artis grafiti Dark Room yang giat membuat karya di banyak ruang terbuka di Lembah Kelang.

