Rosmah sertai majlis unggun api Pandu Puteri
Diterbitkan: Jun 8, 2014 11:14 AM | Dikemas kini: Jun 8, 2014 11:16 AM
Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga Yang Di Pertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), malam tadi menyertai Majlis Unggun Api Karnival Pandu Puteri 2014 di Taman Wetland, di Putrajaya.
Acara tersebut disertai oleh 620 ahli PPPM berusia antara sembilan dan 20 tahun dari seluruh negara itu bertujuan mengeratkan silaturrahim dalam kalangan anggota persatuan.
Turut hadir Timbalan Yang Di Pertua PPPM Raja Datuk Seri Nor Mahani Raja Haji Shahar Shah, yang juga Raja Puan Muda Perak dan Ketua Pesuruhjaya PPPM Normala Baharudin.
Pada majlis sama, Rosmah turut melancarkan 'The Guide Roll' iaitu inisiatif mengumpul dana oleh ahli PPPM dengan menjual 1,000 karton kek gulung 'Swiss Roll' yang ditaja oleh London Biscuits Berhad Group (LBBG).
Rosmah dijangka merasmikan karnival empat hari itu hari ini.
- Bernama

