Masih tiada perkembangan dari JK hudud
Diterbitkan: Jun 8, 2014 5:00 PM | Dikemas kini: Jun 8, 2014 6:02 PM
PAS masih belum menerima sebarang makluman berhubung perkembangan terkini berhubung usaha melaksana hudud daripada jawatankuasa teknikal yang dibentuk antara Kelantan dan kerajaan pusat.
“Tiada. (Kami) serah pada jawatankuasa teknikal,” kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur, petang tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung perkembangan berhubung pelaksanaan undang-undang Islam itu yang dibincangkan jawatankuasa itu.
Turut hadir setiausaha agungnya parti Islam itu Datuk Mustafa Ali.
November tahun lalu, kerajaan Kelantan menubuh sebuah jawatankuasa khas teknikal pelaksanaan hukum hudud bagi mencari mekanisme proses perlaksanaan hukum hudud.
Sementara itu, berhubung kontroversi sekitar seorang pengantin berkahwin mengikut cara Hindu, Mohamad berkata, pihaknya masih meneliti maklumat berkaitannya.
“Kami masih teliti maklumat melalui surat khabar, kami sedang teliti secara terperinci perkara itu,” katanya.
Pada 2 Jun lalu, majlis perkahwinan seorang wanita Zarina Abdul Majeed mengikut cara Hindu mengundang kehadiran penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas disyaki beragama Islam.

