'Bentuk persepsi Esszone berdasar fakta sahih'
Diterbitkan: Jun 8, 2014 7:53 PM | Dikemas kini: Jun 8, 2014 7:55 PM
Persepsi belia terhadap isu keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) perlu dibentuk berdasarkan fakta sahih bagi mengelak mereka melakukan provokasi dan menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kekeliruan dan menyulitkan keadaan.
Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek berkata ini penting memandangkan golongan belia mewakili sepertiga (12.5 juta orang) daripada keseluruhan penduduk negara atau yang lazimnya kumpulan agresif yang sentiasa inginkan perubahan, lapor Bernama.
"Bagaimanapun dalam masa sama, mereka juga tidak terlepas dari cabaran yang wujud selari dengan arus pembangunan.
“Oleh itu, bagi mereka yang lemah, ia akan hanyut dan hilang hala tuju khususnya penyebaran maklumat di media sosial," beliau dipetik sebagai berkata ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Program Komuniti Belia Bersama Esscom Peringkat Daerah Tawau di Kampung Batu Payung, hari ini.
Majlis pelancaran program itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.
Mohammad dilapor turut menyarankan agar para belia menyertai pasukan sukarelawan beruniform bagi membentuk jati diri mereka sebagai insan yang berdisiplin dan penuh tanggungjawab.
Esscom ditubuhkan pada 1 April 2013 susulan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan dipertanggungjawab menyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat di Esszone.
Esszone merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau, dan daerah-daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.
Hisham: Pastikan ekonomi tak terjejas
Sementara itu, agensi berita nasional juga melaporkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (
bawah
) sebagai berkata, tanggungjawab ESSCom perlu dijayakan bagi memastikan ekonomi di Sabah tidak terjejas.
Katanya, semua pihak yang berkepentingan perlu bekerjasama membantu ESSCom dalam menjayakan tanggungjawab menjaga keselamatan di ESSZone.
Selain itu, katanya, semua agensi bawah ESSCom juga perlu bekerjasama dengan sedaya upaya dalam menjalankan tugas bagi memastikan tiada lagi insiden penculikan pelancong berlaku.
"Saya telah diberitahu oleh pengusaha resort di sini tentang penurunan kedatangan pelancong disebabkan beberapa insiden baru-baru ini.
"Oleh itu jika kedatangan pelancong kurang, ekonomi di Sabah turut terjejas," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas melawat pelantar minyak terpakai bagi pelaksanaan sistem 'sea basing' di Pulau Mabul, dekat Semporna hari ini.

