Abdel Fattah el-Sisi, bekas jeneral yang menggulingkan presiden Islamis Mesir Mohamed Mursi, menggunakan ucapan pertamanya sebagai pemimpin baru untuk menyampaikan ikrar “menewaskan keganasan”.
 
Katanya, isu keselamatan menjadi keutamaannya dan beliau tiada masa untuk berdamai dengan penentangnya, lapor Al Jazeera.
 
Beberapa jam selepas pelantikannya pada Ahad, Sisi menjanjikan era baru untuk semua, kecuali “pihak yang melakukan jenayah dan bertindak ganas”.
 
“Saya cakap dengan jelas, sesiapa sahaja yang menumpahkan darah orang yang tidak berdosa dan membunuh... anak-anak Mesir, tiada tempat untuk mereka,” katanya.
 
Sisi menyingkirkan Morsi tahun lalu, mengambil kesempatan daripada protes orang ramai terhadap pemimpin Ikhwanul Muslimin itu. 
 
Ikhwan kemudiannya dianggap pertubuhan haram oleh pihak berkuasa.
 
Sisi mengangkat sumpah di Mahkamah Perlembagaan di Kaherah, tempat yang sama di mana Morsi mengangkat sumpah dua tahun lalu.
 
Hari beliau mengangkat sumpah juga diisytihar cuti umum. Kawalan keselamatan ketat polis dan tentera dikenakan pada hari itu di seluruh Kaherah.
 
Asraf Abdul Ghaffar, anggota kanan Ikhwan memberitahu Al Jazeera, ramai rakyat Mesir tidak mengiktiraf Sisi sebagai presiden baru mereka.
 
“Sisi bukan presiden. Morsi tidak letak jawatan. Presiden yang sah tetap Morsi,” beliau dipetik sebagai berkata.