Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengalu-alukan usaha keluarga penumpang pesawat malang MH370 untuk melakukan usaha sendiri mencari pesawat tersebut.

Menjawab soalan wartawan mengenai perkara itu hari ini, beliau menjemput keluarga terbabit untuk berkongsi bersama Jawatankuasa Bersama (JCC) sebarang hasil yang didapati mereka.

"Saya juga dengar (mereka mahu mencari sendiri) Kita alu-alukan. Mereka boleh buat demikian dan harapnya mereka boleh berkongsi maklumat yang mereka dapati," kata beliau dalam sidang media di Hotel Royal Chulan hari ini.

Azharuddin berkata pihaknya akan ke Australia esok bagi meneruskan usaha pencarian di kawasan baru di Lautan Hindi.

Bagaimanapun beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai lokasi baru pencarian tetapi menegaskan akan terus mencari pesawat malang itu.

"Kita dah pastikan yang penerbangan itu berakhir di Lautan Hindi.

"Ia mengambil masa dua tahun untuk mencari penerbangan 'AirFrance 447.

"Selepas ini kita akan beri kontrak kepada syarikat swasta untuk pencarian laut dalam. Kita akan cari sehingga jumpa serpihannya," katanya.

Sementara itu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata dua pasukan Malaysia masing-masing akan ke Canberra, Australia dan Beijing, China esok untuk mengkoordinasi pasukan operasi dan mengemaskini maklumat pencarian.

"Esok, Datuk Rahim Bakri, pengerusi jawatankuasa penempatan aset akan mengetuai satu pasukan ke Canberra untuk mengkoordinasi dan memuktamadkan penyertaan Malaysia dalam fasa terbaru operasi mencari ini.

"Sejurus itu, semua empat pengerusi jawatankuasa peringkat menteri yang diketuai Datuk Hamzah Zainuddin akan ke Beijing untuk mengemaskini maklumat mengenai usaha dan sumbangan Malaysia kepada China dalam usaha baru di peringkat Tiga Pihak ini," kata beliau.