Kementerian Dalam Negeri bersedia menempatkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai polis syariah, kata Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    

Beliau berkata PDRM mempunyai pegawai dan anggota yang bersesuaian untuk penempatan itu dan hanya menunggu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewujudkan jawatan itu di Jakim.

    

"Ramai anggota polis yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan ada yang memiliki ijazah daripada universiti tempatan atau luar negara dalam bidang agama dan kami bersiap siaga untuk menempatkan pegawai kami ke Jakim," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

    

Sebelum ini, terdapat cadangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menubuhkan polis syariah sebahagian daripada pasukan penguatkuasaan.

    

Zahid sebelum itu menghadiri majlis makan tengah hari dan ceramah bersama Ulama Sheikh Solah Khalifah Muhammad Khalifah bersempena kunjungan hormat imam dan khatib Masjid Saidina Jaafar, Jordan, di kementerian hari ini.

Ahmad Zahid berkata tiada tempoh yang ditetapkan untuk penempatan anggota PDRM di Jakim itu dan menyerahkan usaha untuk mendapatkan kelulusan bagi perjawatan itu daripada JPA kepada Jakim.

    

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa sejumlah RM2.2 juta telah dibayar kepada penculik untuk membebaskan pelancong dari China yang diculik di Sabah baru-baru ini, beliau menegaskan tiada sebarang bayaran dilakukan.

    

"Jangan dengar cakap orang, Perdana Menteri sendiri dah cakap.. kita nak dengar cakap orang buat apa," katanya.

    

Warga China, Gao Hua Yuan, 29, dan warga Filipina Marcy Dayawan, 40, yang diculik dari Singamata Adventures and Reef Resort, Semporna, Sabah pada 2 April berjaya diselamatkan di Pulau Jolo, Filipina pada 30 Mei.

    

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tiada wang tebusan dibayar bagi pembebasan itu.

    

-Bernama