Bekas presiden BSM maafkan JAIS
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah "salah" mentafsir undang-undang dan membuat "kesilapan besar" dalam melakukan serbuan terhadap Bible Society Malaysia (BSM) Januari lepas, kata bekas Presiden BSM, Lee Min Choon.
Bagaimanapun, Lee yang ditahan JAIS semasa serbuan berkaitan Bible dalam bahasa Melayu dan Iban itu, menggesa penganut agama Kristian supaya memaafkan jabatan tersebut.
Mengulas kenyataan Peguam Negara (AG) bahawa kes tersebut ditutup, Lee berkata, JAIS menjalankan tugasnya tetapi mereka telah salah mentafsir undang-undang.
"Tiada siapa yang sempurna, semua orang membuat kesilapan," tulis beliau dalam blognya mengenai kemelut berkaitan bible dalam bahasa Malaysia, al-Kitab.
Lee juga menggesa JAIS supaya memulangkan semula 321 bible dalam bahasa Malaysia dan Iban yang dirampas dalam serbuan itu.
Lee, seorang peguam, berkata beliau tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap JAIS yang menahannya sewaktu serbuan tersebut.
"Saya sudah lama maafkan JAIS lama dan tidak berniat untuk menyaman untuk menghukum mereka dalam apa jua cara.
"Pengumuman Peguam Negara itu adalah lebih baik daripada sebarang penghakiman mahkamah," kata Lee.
Beliau berkata, tiada apa yang akan diperolehi daripada tindakan menyaman, kecuali untuk memuaskan nafsu untuk membalas dendam, yang menurutnya bukan ajaran agama Kristian.
Beliau juga menggesa JAIS supaya memastikan insiden seperti itu tidak berulang lagi.

