Serangan peribadi terhadap pemimpin Pemuda Parti KeADILan Nasional disifatkan satu rancangan jahat melalui beberapa orang 'desparado' untuk melemahkan jentera parti itu menjelang pilihan raya kecil Telok Kemang.

"Jelas sekali ia adalah satu rancangan jahat daripada pihak tertentu untuk menjejaskan nama baik saya dan parti. Saya telah menjangkakan perkara seperti ini akan berlaku dan menerimanya dengan terbuka dan sabar," kata Ketua Pemuda, Mohamad Ezam Moh Nor kepada malaysiakini hari ini.

Beliau berkata, tindakan bekas Naib Ketua Pemuda KeADILan Kedah, Zuraidi Rahim dan kenalannya, Zul Azhar Cha mendesak beliau meletakkan jawatan dan mengancam untuk mendedahkan keburukan peribadinya adalah tindakan terdesak.

" Kita tahu siapa mereka berdua. Kedua-duanya menghadapi berbagai-bagai masalah peribadi dan kewangan. Saya akui Zul Azhar adalah sahabat saya tapi bukanlah Pembantu Peribadi saya sebagaimana dakwaannya," jelas Ezam.

"Saya dan exco-exco Pemuda KeADILan pernah menolong beliau menyelesaikan pelbagai masalah peribadinya. Beliau pernah dipenjara atas kesalahan pecah amanah dan saya adalah penjaminnya."

"Tindakannya menikam saya memang mengecewakan tetapi tidak sama sekali akan melemahkan semangat perjuangan saya," tegas Ezam.

Menurut beliau, Umno kini memilih untuk menyerang peribadinya setelah mendapati pelbagai tindakan undang-undang dan tekanan politik tidak berjaya menghalangnya terus mengkritik kepimpinan negara dan Umno.

"Perbuatan membeli ahli-ahli parti lawan oleh Umno adalah perkara biasa lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya," kata Ezam, yang juga Pengarah Pilihanraya KeADILan, lagi.

Beliau yakin tindakan memburuk-burukkan parti itu tidak akan menjejaskan peluang calon partinya, Ruslan Kasim.

Ezam berkata, barisan pimpinan parti memilih tidak mahu menjawab dakwaan-dakwaan tersebut secara terbuka sekarang kerana tidak mahu isu ini mengatasi kempen pilihan raya itu, apabila diminta mengulas dakwaan-dakwaan "salah laku" Ezam yang dibangkitkan oleh Zuraidi dan Zul Azhar.