Tk Kemang, Sanggang: Alternatif berkuku
Barisan Alternatif meletakkan calon yang tepat dalam pilihan raya kecil Telok Kemang. Ruslan Kasim daripada Parti KeADILan Nasional yang menggunakan lambang mata lebam rupa-rupanya menakutkan Barisan Nasional.
Barisan Alternatif meletakkan calon yang tepat dalam pilihan raya kecil Telok Kemang. Ruslan Kasim daripada Parti KeADILan Nasional yang menggunakan lambang mata lebam rupa-rupanya menakutkan Barisan Nasional.
Maka media arus perdana BN, khususnya Utusan Malaysia dan TV3, menyerang KeADILan daripada segenap penjuru. Dengan kelebihan majoriti 9,942 yang ditinggalkan oleh bekas calon BN lalu, kegilaan serangan media itu agak ganjil.
Apatah lagi memikirkan kawasan parlimen Telok Kemang terletak di Negeri Sembilan, antara dua negeri di Semenanjung yang begitu pejal daripada asakan pembangkang dalam pilihan raya umum November lalu - pilihan raya umum terbaik pembangkang sejak 1969.
Ketakutan BN yang ditunjukkan melalui kempen itu terjawab kini. Ruslan dapat menurunkan majoriti BN itu sebanyak hampir 4,000 undi kepada 5,972 di tengah-tengah "kecemerlangan" sokongan kepada kerajaan. Misi pembangkang itu bolehlah dianggap tidak memalukan, kalaupun tidak dianggap berjaya.
Sementara itu dalam pilihan raya kecil DUN Sanggang pada 1 April, BN berjaya mendapat 1963 undi majoriti, peningkatan lebih 900 undi. Bagaimanapun, jentera pilihan raya BA di situ mendakwa wujud 300 orang pengundi luar kawasan, dan 300 lagi nama pengundi 'hilang' daripada senarai pengundi 1999.
Senarai pemilih yang baru tahun 2000 - pernah menjadi kontroversi kerana tidak memasukkan lebih 680,000 pengundi - digunakan untuk dua pilihan raya kecil tersebut.
Selepas enam bulan pilihan raya umum, jika ditinjau daripada dua keputusan tersebut, nyatalah sokongan akar umbi terhadap Barisan Alternatif masih lagi berkuku.
Maka, munasabahlah isu Ketua Pemuda KeADILan Mohamad Ezam Mohd Nor "memanjat pagar" untuk menyampaikan hadiah kepada Nurul Izzah Anwar menjadi modal politik - sempat beberapa hari ia dimainkan oleh akhbar yang menjadi rujukan utama Melayu kampungan itu.
"Kalau nak dijadikan isu, katalah saja Nurul mengandung anak Ezam ke, barulah logik," ulas seorang pelajar universiti, berhubung berita itu. "Kalau setakat 'panjat pagar,' remeh sangatlah isunya."
Sementara Ezam pula menyifatkan serangan itu "satu rancangan jahat melalui beberapa orang desparado."
"Sungguh menyedihkan Dr Mahathir dalam usia yang semakin tua nampaknya begitu terdesak dan sanggup menggunakan kaedah-kaedah yang keji seperti itu," ulas Anwar pula kepada malaysiakini dalam satu temubual Jumaat lepas.
Serangan itu bermula dengan kemasukan semula Naib Ketua Pemuda KeADILan Kedah, Zuraidi Ramli bersama Umno pada Jumaat sebelum penamaan calon 30 Mei lalu. Bagaimanapun, isu remeh itu difikirkan tidaklah terlalu besar untuk menggemparkan negara dan menggoncang simpatisan KeADILan.
Lalu isu desakan lima tapak web reformasi terhadap Timbalan Presiden Dr Chandra Muzaffar dan Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Tahir, mendahului berita Zuraidi itu. Berita yang asalnya dibocorkan oleh malaysiakini menjadi lead story dua akhbar Melayu pada hujung minggu itu dan sebuah akhbar Inggeris menyiarkan isu itu dalam tempoh seminggu.
Selepas itu kemasukan Zul Azhar Cha yang rapat dengan Ezam sehinggalah penyertaan Wan Indra Putra Ahmad, Nordin Ahmad, Baharudin Ali Masrom dan, pada hari pengundian Sabtu lalu, 32 ahli Kampung Fajar, Gombak.
Oleh kerana semua tokoh itu tidak bertaraf nasional - malah tidaklah sangat dikenali di kalangan penyokong pembangkang atau KeADILan - ulasan tentang apa yang didakwa "krisis dalam KeADILan" itu disebut bersama desakan perletakan jawatan Chandra dan Anuar.
Hairan sekali, calon pilihan raya Ruslan sendiri, apatah lagi Anwar, bukanlah sasaran media arus perdana. Ia nampaknya berkisar isu Pemuda parti itu, ertinya Ezam, dan KeADILan di beberapa negeri.
Isu kedua yang dimainkan ialah layanan baik kerajaan, melalui parti Cina MCA, terhadap penternak khinzir di DUN Lukut. Kawasan perindustrian khinzir antara yang terbesar di Asia Tenggara itu pernah dilanda wabak virus Nipah tahun lalu yang memakan korban lebih 100 nyawa dan memusnahkan harta benda hingga ke saat-saat ini.
Menjelang hari mengundi, kerajaan dilaporkan bersedia "menghidupkan kembali" industri penternakan di situ. Bagaimanapun, pengundi di situ memberikan sokongan majoriti kepada Ruslan. Beliau mendapat hampir 300 undi. Beberapa hari selepas penamaan calon, penternak di situ diberikan cek beribu-ribu ringgit setiap seorang sebagai "pampasan" walaupun krisis itu berlalu lebih setahun.
Kekecewaan mereka sudah diketahui umum sentiasa wujud. Malah, sejak beberapa bulan mutakhir masih ada lagi saki-baki penternak yang koma, dan sesetengahnya berulang-alik ke hospital akibat mengidap virus berbahaya tersebut. Jika virus ini mewarisi ciri-ciri virus Hendra yang pernah menyerang Australia beberapa tahun lalu, dijangkakan pengidap Nipah akan menemui ajal dalam tempoh setahun serangan - sekarang!
Sementara BA menyerang calon BN, S. Sothinathan, setiausaha politik Menteri Kerja Raya S. Samy Vellu melalui isu saham Maika Holdings, sebuah syarikat kroni MIC.
Pada 1990, sebanyak RM50 juta saham Telekom yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada koperasi itu malangnya dibolot oleh tiga syarikat persendirian yang dipunyai kepentingannya oleh calon BN. Kira-kira RM45 juta, atau 9 juta saham dengan harga RM5 setiap satu, diselewengkan kepada tiga syarikat milik persendirian itu.
Selain isu-isu tradisi, seperti rasuah dan politik wang yang diamalkan kerajaan dan penyempitan demokrasi negara, BA juga membangkitkan isu layanan buruk kerajaan terhadap penternak khinzir.
Mereka berusaha menimbulkan isu ke peringkat nasional, misalnya calon BA Ruslan, termasuk dalam kumpulan peguam yang dikatakan akan menyaman Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Ming. Nampak juga kerajaan diserang rasa bersalah atas kecuaian dan sikap apathy mereka.
Pendek kata, isu yang dibangkitkan BA berjaya mengurangkan majoriti BN tetapi serangan media perdana menggagalkan usaha merebut Telok Kemang.

