Kerusi terbang di pemilihan semula PKR Kota Raja
Proses pemilihan semula jawatan PKR Kota Raja di Klang hari ini bertukar ganas sehingga mengakibatkan dua lelaki cedera dalam pergaduhan semasa sesi pengundian.
Seorang saksi yang enggan dikenali mendakwa pergaduhan pada jam 4.15 petang itu bermula apabila seorang pengundi dipercayai cuba memecahkan peti undi selepas membuang undinya sehingga menimbulkan kekecohan.
Penyokong calon di luar Dewan Klang Jaya, Taman Desawan, yang mengetahui insiden itu merempuh pagar pusat mengundi namun dihalang Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang mengawal ketat pintu masuk utama ke dewan berkenaan.
Situasi tegang itu bertambah 'panas' apabila ada penyokong calon di luar dewan mula membaling kerusi antara satu sama lain.
Kedua-dua mangsa, yang dipercayai penyokong dan pengundi, cedera di bahagian kepala menyebabkan proses pengundian semula cabang berkenaan terpaksa dihentikan setengah jam lebih awal.
Difahamkan pengumuman penutupan pusat mengundi itu dibuat wakil JPP atas faktor keselamatan, namun beliau menyatakan peti undi tidak dirosakkan dan
dihantar ke ibu pejabat PKR dengan diiringi polis untuk proses pengiraan pada kira-kira jam 5.30 petang.
Terdahulu, beberapa penyokong melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan seorang calon yang juga penyandang Ketua Cabang Kota Raja Dr Xavier Jayakumar kerana mengarahkan sekumpulan pengundi keluar dari dewan pengundian.
K Krishnan, 55, mendakwa Xavier yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Andalas cuba menyalahgunakan kuasanya sebagai wakil rakyat.
Sementara itu, di NIBONG TEBAL, pemilihan semula jawatan PKR sedikit kecoh apabila penyokong calon bertanding bertikam lidah ketika proses pengundian di Dewan Serbaguna Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Seri Ampangan.
Proses pengundian yang bermula pukul 10.30 pagi itu tegang apabila penyokong penyandang Ketua Cabang Nibong Tebal Datuk Maktar Shapee dan seorang calon Datuk Mansor Othman, yang juga Anggota Parlimen Nibong Tebal, cuba meraih undi anggota PKR yang hadir untuk mengundi.
Pemilihan PKR di Selangor dilakukan semula selepas berlaku kekecohan pada 11 Mei lepas, yang menyaksikan 11 daripada 22 cabang terpaksa menjalani proses itu sekali lagi.
- Bernama

