Pelayan Tripod tamat khidmat web reformasi
Akibat serangan penceroboh web yang menggunakan foto lucah, keahlian Laman Reformasi akhirnya ditamatkan oleh pembekal khidmat tapak web percuma. Laman itu yang diletakkan di pelayan Tripod.com hari ini mengeluarkan mesej yang menunjukkan perkhidmatannya ditamatkan.
Tinjauan malaysiakini pada petang Sabtu lepas melalui ketiga-tiga sambungan ke laman itu menunjukkan ia tidak boleh dicapai. Pelayan (server) memberikan notis " Sorry, but the page or file that you're looking for is not here " (maaf, laman atau fail yang dicari tidak terdapat di sini).
Penamatan khidmat percuma itu disebabkan terdapatnya sekeping foto lucah yang menunjukkan dua lelaki mengadakan perhubungan jenis luar tabie. Foto ini diletakkan oleh penceroboh yang dikenali 'Hackers Junior.'
Meletakkan foto seperti itu dianggap salah di sisi peraturan khidmat pelayan percuma kecuali dikategorikan sebagai "adult site" atau tapak web untuk golongan dewasa.
"Akaun anda ( Laman Reformasi ) telah dibuang daripada pelayan kami disebabkan anda memaparkan bahan-bahan dewasa (lucah)," kata mesej Tripod kepada laman web proreformasi itu.
"Notis ini sebagai pembatalan keahlian anda di Tripod.com," [#1] mesej[/#] itu dipetik selanjutnya.
Pelayan itu sebelum ini menambah ruang kepada laman politik probekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu setelah ia berjaya mendapat sambutan hangat dan menolong mempopularkan khidmat percuma Tripod.com.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pengendali sebuah laman web PAS mendakwa kantung emelnya berjaya diceroboh dalam tempoh beberapa hari ini. Khidmat emel percuma di Hotmail.com itu diceroboh dan berjaya dipintas oleh anasir tidak bertanggungjawab itu.
Laman web dan forum diskusinya juga berjaya diceroboh.
"Saya telah cover (atasi) masalah ini dengan menggunakan forum baru dan emel yang baru," kata pengendalinya kepada malaysiakini semalam. Beliau juga menukar alamat URL yang baru untuk mencapai lamannya, juga menggunakan khidmat Tripod.com.
"Marilah kita sama-sama menjaga rumah kita (kemudahan web dan emel) daripada kecurian," katanya lagi, yang tidak mahu dikenali untuk menjaga kredibiliti operasi webnya.
Bagaimanapun, dalam satu mesej kepada malaysiakini petang semalam, Laman Reformasi yang diceroboh tengah malam Jumaat lalu itu kini dipulihkan melalui alamat URL yang baru, [#2] http://mahazalim.tripod.com/[/#]
Sambungan baru yang diberikan itu merupakan alamat asal sejak ia diasaskan beberapa hari selepas Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno pada September 1998. Bagaimanapun alamat itu dihentikan operasinya pada Januari tahun lalu dan digantikan dengan 'mahazalimtwo' sehinggalah diceroboh minggu lalu.
Setakat ini, sejak dikemaskini mulai jam 3 petang tadi, Laman Reformasi di alamat asalnya itu tidak memuatkan sebarang berita kecuali dua kenyataan rasmi pengendalinya berhubung pencerobohan tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.