Walaupun Barisan Nasional menang, para pemimpinnya mengetahui Umno telah kalah teruk. Dalam pilihan raya ke-10 yang lalu, akibat daripada kezaliman yang rakyat percaya telah dilakukan oleh pucuk pimpinan BN terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemarahan di kalangan rakyat terhadap pemimpin-pemimpin itu meluap.

Kemarahan orang Islam semakin mendalam apabila sebilangan besar mereka beranggapan bahawa agama mereka dan rasul mereka sering dihinakan oleh pucuk pimpinan BN yang sama.

Sungguhpun kemarahan ini belum tentu boleh berterusan, namun trend pilihan raya lalu menyebabkan para pemimpin Umno mengkhuatiri nasib mereka dalam pilihan raya akan datang. Lagi pula mereka melihat bahawa Barisan Alternatif semakin kuat dan mantap, walaupun diakui menghadapi sedikit masalah.

Sebaliknya BN semakin lemah. MCA retak, sehingga mengakibatkan perletakan jawatan Presidennya, Ling Liong Sik sebagai menteri. Walaupun beliau sudah pulang ke kabinet, keretakan dalam MCA tidak pulih.

Seterusnya, Umno pula mengalami berbagai-bagai ketegangan. Dalam pemilihan anggota-anggota Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini, ketiga-tiga Naib Presiden yang dipilih bukanlah daripada mereka yang disukai oleh Presiden atau Timbalan Presiden. Itu sebab Abdullah Badawi terpaksa berkali-kali membuat kenyataan media bahawa beliau tidak ada masalah untuk bekerja dengan mereka. Tambahan pula, ramai anggota MT yang terpilih adalah orang yang di luar kerajaan atau tidak diberi peluang untuk menjadi calon dalam pilihan raya umum yang lalu.

Selain itu perbezaan pandangan antara Menteri Kewangan Daim Zainuddin, merangkap Bendahari Umno dengan Perdana Menteri, mengenai soal-soal ekonomi, semakin ketara. Pendapat mereka berbeza tentang pengawalan modal, kadar pertukaran ringgit dengan dolar, percantuman bank-bank, pemilihan gabenor Bank Negara, pelantikan penasihat ekonomi yang baru bagi PM, dan macam-macam lagi.

Baru-baru ini keluar pula arahan daripada Kementerian Kewangan yang boleh mempunyai akibat mengetepikan suku-sakat Mahathir daripada berbagai-bagai jawatan eksekutif yang kanan dalam syarikat-syarikat yang dikuasai pemerintah. Adakah tujuan langkah itu untuk menggantikan mereka dengan suku-sakat Daim pula?

Tamak haloba untuk merebut kekuasaan serta kekayaan bukan saja telah menular luas, bahkan sudah sampai ke kemuncak. Kuasa serta kekayaan bertumpu pada segelintir mereka yang rapat dengan pucuk pimpinan BN. Nampaknya wang serta kuasa menentukan hubungan antara pemimpin-pemimpin dalam Umno.

Bahkan inilah juga faktor yang akhirnya akan memusnahkan Umno serta BN. Dr Mahathir sebenarnya telah memulakan proses kehancuran Umno/BN. Beliau sendiri tidak boleh menahannya.

Oleh sebab itu, beliau berasa gundah-gulana. Oleh kerana itu, beliau bersedia berbuat apa saja untuk mempertahankan kekuasaannya sendiri serta kekayaan suku-sakatnya. Maka yang demikian tidaklah pelik bahawa sebelum Umno dan BN musnah, beliau cuba hendak memusnahkan parti, golongan serta orang yang boleh mencabarnya.

Musuh yang menjadi sasaran utama beliau nampaknya ialah PAS dan Parti KeADILan Nasional, kerana mereka mampu menarik sokongan Melayu-Islam daripada Umno.

Saya lihat ada sekurang-kurangnya tujuh cara yang digunakan oleh pimpinan pemerintah sekarang ini untuk melemahkan, dan sekiranya boleh, memusnahkan parti-parti dan segala tenaga alternatif. Cara-cara itu adalah seperti berikut:

Pertama, menuduh bahawa PAS mengeluarkan fatwa-fatwa "sesat" dan KeADILan hanya memperjuangkan nasib seorang pemimpin, yang tidak habis-habis mereka fitnah melakukan hubungan seks yang sumbang;

Kedua, menakut-nakutkan orang ramai bahawa PAS mahu menegakkan negara Islam, yang akan menyekat hak kebebasan agama, budaya dan peribadi, terutama bagi golongan Melayu-Islam, dan KeADILan pula mahu menimbulkan kekacauan yang boleh menjejaskan keamanan, keselamatan serta kestabilan ekonomi;

Ketiga, menggunakan politik perkauman secara berterusan dengan menakut-nakutkan terutama masyarakat bukan Melayu bahawa jika BN kalah, maka mereka akan disekat menganuti agama dan budaya mereka dan huru-hara kaum dan agama akan tercetus;

Keempat, mengheret pemimpin-pemimpin daripada semua parti ke mahkamah atas pelbagai tuduhan sivil atau jenayah dengan tujuan supaya mahkamah mengenakan hukuman denda atau penjara sehingga mereka hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya, dan menimbulkan rasa takut dan bimbang kepada orang lain;

Kelima, mengurangkan atau membatalkan penerbitan-penerbitan yang dianggap sering mengkritik pemimpin pemerintah yang tertentu, bahkan juga yang cuba hendak bersikap berkecuali semata-mata, dan tidak membenarkan ceramah umum atau perhimpunan aman yang dianjur oleh parti-parti alternatif;

Keenam, menarik pemimpin dan anggota daripada parti-parti alternatif, terutama sekali dari KeADILan, untuk kembali ke pangkuan Umno dengan menawarkan wang, peluang ekonomi dan pangkat, atau dengan mengugut akan mengambil tindakan terhadap kesalahan-kesalahan yang pernah mereka lakukan; dan

Ketujuh, merosakkan peribadi sebilangan pemimpin alternatif yang berpengaruh atau berkesan, melalui sebaran fitnah bahawa mereka melakukan salah laku seks, dengan tujuan menimbulkan kemarahan atau kesangsian rakyat terhadap mereka.

Di samping menujukan sasaran mereka terhadap parti-parti alternatif, para pemimpin pemerintah BN juga terus menumpukan serangan mereka kepada Anwar dan gerakan reformasi. Mahathir tidak habis-habis menyerang Anwar dan gerakan reformasi, membuktikan bahawa pengaruh mereka masih kuat dan tindakan-tindakan mereka ada kesannya.

Parti Rakyat Malaysia tetap menyokong serta menyatakan setiakawannya bersama Anwar, yang telah lama dizalimi, dan gerakan reformasi yang terus diburuk-burukkan.

Nyata sekali bahawa cara penekanan dan wajah kezaliman para pemimpin BN semakin banyak, bertambah teruk, dan berubah-ubah. Semuanya mungkin membawa akhirnya kepada pemerintahan kuku besi yang dikuasai oleh segolongan kecil, bahkan menjurus kepada seorang pemimpin negara saja.

Mereka ini rakus dan gila kuasa. Mereka tidak memikirkan masa depan rakyat dan negara.


Sedutan teks ucapan Presiden PRM, Dr SYED HUSIN ALI dalam kongres parti itu kali ke-33 yang diadakan pada 11 Jun 2000 di Kuala Lumpur.