Most Read
Most Commented
Read more like this

Badan Pencegah Rasuah (BPR) cuba menonjol sebagai wira bertaring dalam siri drama terbaru berjudul 'lesen terbang.' Tetapi akhirnya ia kecundang sebagai pejuang tanpa gigi.

Apabila kegiatan sindiket mengeluarkan lesen memandu haram mula dikesan awal September lalu, BPR dilihat oleh umum sebagai agensi yang bertaring, dan tegas.

Bertaring kerana berani membongkar rasuah dan penyelewengan yang sudah membudaya dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Semua orang tahu lesen haram bukan perkara baru di JPJ. Dakwaan korupsi ini telah kedengaran sejak sekian lama, dikenali dengan berbagai-bagai nama - lesen kopi-O, lesen celup, lesen suap, dan lesen kilat.

Namun, BPR memberikan nama baru supaya kedengaran lebih serasi dengan era siber yang serba pantas: 'lesen terbang.' Selama berpuluh-puluh tahun drama 'lesen haram JPJ' ini berjalan secara lancar tetapi tidak rasmi, kini BPR mengesahkan dengan publisiti gah mengenai penyelewengan mega ini.

Lebih 100,000 lesen terbang dikeluarkan secara terancang oleh sindiket - yang melibatkan pemilik sekolah menandu dan pegawai JPJ - dan mengaut laba haram sekitar RM40 juta.

BPR yang selama ini dianggap sebagai lembik dan tidak bergigi, tiba-tiba menjadi sang harimau bertaring tajam. Berani, tegas pula. Tegas kerana berhasrat memerangi kegiatan lesen terbang habis-habisan.

Acah-acah BPR

"Kita akan mengambil tindakan ke atas semua pemilik lesen yang tidak menyerah diri pada 26 September," kata Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Zaki Husin.

Zaki begitu yakin dapat mengesan semua 100,000 pemilik lesen terbang menerusi Ops Melayang, "kerana senarai nama dan alamat mereka sudah ada di dalam tangan kita!"

Tetapi, apabila sampai masanya dan hanya 2,027 orang yang menyerahkan lesen terbang, tidak pula BPR bertindak. Mana senarai nama dan alamat pemilik lesen haram itu? Kenapa tidak disiarkan senarai tersebut di media masa?

Sebenarnya senarai nama yang digahkan semasa Ops Melayang itu hanya acah-acah kosong untuk menakutkan pemilik lesen terbang. BPR tidak mempunyai senarai tersebut.

Hilang kisah untuk bertindak tegas ke atas mereka yang melanggar tarikh akhir penyerahan lesen terbang, BPR mengumumkan pula tarikh akhir itu dilanjutkan sehingga 15 Oktober depan.

Di mana taring BPR yang mulanya kelihatan amat tajam dan berbisa itu? Jika benar badan bebas itu mempunyai bukti lengkap seperti yang didakwa di peringkat awal, kenapa tidak ada seorang pun yang dikenakan tindakan sehingga kini?

Setelah publisiti yang begitu gah setiap hari, Ops Melayang hanya berjaya merampas 2 peratus daripada kira-kira 100,000 lesen haram. Tidakkah ini sesuatu yang amat memalukan?

Apabila operasi awal gagal, BPR melancarkan pula Ops Melayang 2, yang akan mengadakan serbuanke rumah-rumah dan pejabat-pejabat untuk menjejaki pemilik lesen yang masih berdegil.

Mendera pemilik lesen sah!

Serbuan ke rumah-rumah? Yang hendak diserbu bukan sepuluh atau seratus orang, tetapi lebih 100,000 orang! Apakah BPR mempunyai cukup kakitangan untuk mengadakan serbuan dari rumah ke rumah di seluruh Semenanjung? Awal-awal lagi orang ramai sudah menganggap langkah ini sebagai lawak.

Akhirnya BPR tewas dengan kelemahan sendiri. Hanya beberapa hari setelah Ops Melayang 2 dilancarkan, Zaki memberitahu BPR tidak akan meneruskan usaha mengesan 100,000 pemilik lesen terbang, dan menyerahkan tugas tersebut kepada JPJ.

Maka siri drama BPR yang pada mulanya serius, akhirnya menjadi sitcom yang berjaya membuatkan semua orang ketawa. Jika ada hadiah untuk drama 'Lesen Terbang,' BPR layak menerima anugerah "pelawak terbaik."

Bagaimanapun, anugerah lawak paling bodoh patut diberikan kepada JPJ kerana cadangan lucunya meminta 8 juta pemilik lesen sah untuk memperbaharui lesen. Konon dengan memperbaharui lesen secara menyeluruh sahaja pemilik lesen haram dapat dikesan.

Gara-gara 100,000 orang memiliki lesen secara haram, 8 juta pemilik lesen sah pula yang didera! Alangkah lucunya!!

Mujur Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik, cepat menyedari lawak bodoh itu, dan cadangan itu tidak dilaksanakan.

Tetapi masih ada juga cadangan separuh lawak daripada JPJ. Konon usaha terakhir dalam mengesan pemilik lesen terbang ialah melalui pejabat pos yang mempunyai talian langsung dengan jabatan tersebut.

Pegawai-pegawai penguatkuasa JPJ akan ditempatkan di 394 pejabat pos untuk bertindak terhadap pemilik lesen terbang yang dijangka akan memperbaharui lesen mereka di pejabat pos.

Timbul soalan: apakah JPJ mempunyai cukup kakitangan penguatkuasa untuk bertugas di pejabat pos? Apakah JPJ pasti semua lesen terbang akan diperbaharui di pejabat pos?

Atau, apakah cadangan ini pun hanyalah satu lagi episod dalam drama separuh berat ini? Nampaknya kita tidak habis-habis dengan drama!


M ARIEF bertugas sebagai wartawan kanan di sebuah syarikat penerbitan swasta


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS