PKR bimbang nasib 'kubu terakhir keintelektualan'
PKR menyatakan kebimbangannya terhadap perkembangan terkini di universiti dalam kes tekanan terhadap Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman ( bawah ) kerana mengelolakan kajian tidak disenangi kerajaan.
Datuk Mansor Othman berkata, institusi pengajian tinggi (IPT) merupakan “kubu terakhir” tradisi keintelektualan dan misinya akan hilang jika terseret ke kancah politik dan dirampas outonomi dan kebebasan akademiknya.
“UM harus mempertahankan dirinya sebagai medan mengungguli ilmu untuk kemajuan negara sesuai dengan moto UM Ilmu Punca Kemajuan,” kata naib presiden PKR itu.
“Jangan sampai istilah 'profesor kangkung' kembali bermaharajalela di medan yang seharusnya subur dengan budaya ilmu.”
Anggota Parlimen Nibong Tebal itu juga mengingatkan titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebelum ini yang menyebut autonomi intelek penting untuk sesebuah universiti berada di ranking teratas dan bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian.”
Bekas timbalan menteri pendidikan tinggi Datuk Saifuddin Abdullah hari ini meletakkan jawatan sebagai felo penyelidik kanan Universiti Malaya (UM).
Ia ekoran tekanan supaya Dr Redzuan, pengarah Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), meletak jawatan kerana kajian yang dilakukan tidak disukai kementerian.
Selain jawatan pengarah Umcedel, tempoh kontrak Redzuan sebagai dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM yang tamat hari ini, turut tidak dilanjutkan.
'Elak profesor kangkung'
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, tekanan itu tidak wajar dengan mengambil kira reputasinya, termasuk pernah menjadi dekan terbaik pada 2012, serta kewibawaan tinjauan Umcedel.
Malah, katanya, Najib sendiri pernah memuji badan itu pada Januari 2012 kerana sebuah tinjauannya yang menunjukkan bahawa BN akan terus berkuasa.
“Reputasi Umcedel sebagai pemerhati politik tanah air tidak dapat disangkal lagi apabila terus-terusan membuat kajian yang tepat dari pendapat rakyat tentang perjalanan politik dalam pelbagai isu, termasuklah penemuannya tentang keputusan pilihan raya umum ke-13 yang bertepatan dengan keputusan sebenar,” katanya.
Dalam kenyataan hari ini, Nurul Izzah juga menyeru semua pihak menyatakan solidariti dan bantahan terbuka terhadap perkara itu.
“Jangan jadikan profesor-profesor di Malaysia semuanya kangkung semata-mata!” katanya yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai.

