Isu UM: DAP sokong pendirian Saifuddin
Keputusan bekas timbalan menteri pengajian tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah melepaskan jawatan felo dengan Universiti Malaya selepas kerajaan dilihat membendung ahli akademik, turut disokong DAP.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (kanan) berkata percubaan untuk membendung kebebasan akademik bukan perkara baru di Malaysia dan telah menjejaskan kualiti universiti.
Beliau menegaskan bahawa taktik itu perlu dikecam oleh semua pihak.
"Ia kini jelas bahawa Prof Redzuan Othman telah dihukum kerana
bersikap profesional, bekerja mengikut fakta dan menjadi penyelidik yang tidak berat sebelah, dan dibuang kerana hasil kajiselidiknya tidak sehaluan dengan kerajaan yang memerintah," kata Lim dalam satu kenyataan akhbar.
"Walaupun Saifuddin seorang pemimpin BN, DAP menyokong penuh pendirian beliau untuk bersama dengan Prof Redzuan, dan mendukung prinsip kebebasan akademik.
"DAP mengutuk kerajaan pusat BN kerana semakin bersikap menindas dalam melayan pelajar dan ahli akademik," katanya.
Tempoh Redzuan (kiri) sebagai dekan fakulti sastera dan sains sosial di universiti itu berakhir pada 30 Jun dan tidak diperbaharui.
Pada masa yang sama, Saifuddin mengesahkan terdapat tekanan oleh Kementerian Pendidikan supaya profesor sejarah itu meletak jawatan sebagai pengarah Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaysia (Umcedel) yang ditubuhkan pada tahun 2012.
Saifuddin memberitahu Malaysiakini bahawa beliau telah meletak jawatan sebagai felo penyelidikan kanan di UM sebagai tanda protes terhadap apa yang telah berlaku kepada Redzuan.
Hasil penyelidikan Umcedel ini tidak selalunya memihak kepada kerajaan BN yang memerintah.

