Sampel dari 20 ladang babi bebas JE
Semua 181 sampel darah yang diambil dari 20 buah ladang babi di sekitar kawasan Kampung Selamat, Tasik Gelugor, Pulau Pinang, pada Selasa lepas didapati negatif daripada virus penyebab Ensefalitis Jepun (JE).
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Datuk Dr Mohamad Azmie Zakaria berkata jabatan itu bagaimanapun sedang meneruskan siasatan penyakit dan turut mengumpul sampel darah daripada ternakan lain.
"Aktiviti survelan juga diperluaskan merangkumi ladang babi di seluruh negeri Pulau Pinang dan negeri lain di Semenanjung," katanya dalam kenyataan hari ini.
JPV telah melakukan aktiviti pemantuan dan persampelan dari ladang-ladang babi yang terletak dalam radius satu kilometer dari Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat.
Sampel darah babi diambil ekoran seorang murid tahun enam dari sekolah berkenaan, Muhammad Ammar Muqrish Zulkiffli, koma disyaki dijangkiti virus JE dan lebih sebulan dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Baru, Pulau Pinang.
Dr Azmie berkata pengusaha ladang ternakan dinasihatkan mengetatkan kawalan biosekuriti ladang dan mempertingkatkan kebersihan persekitaran serta memastikan saliran perparitan dalam keadaan baik bagi mengelakkan pembiakan nyamuk.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengenakan kompaun kepada pengusaha 18 ladang babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor kerana melanggar amalan pengurusan sisa kumbahan yang ditetapkan.
Setiausahanya, Rozali Mahamud berkata pemeriksaan MPSP mendapati 18 daripada 78 ladang babi di kawasan itu tidak mencapai tahap permintaan oksigen biokimia (BOD) ketika melepaskan air kumbahan ke sungai.
"Sebanyak 18 ladang babi yang kami periksa pada Selasa telah melebihi ukuran BOD yang ditetapkan iaitu sebanyak 50.
"MPSP telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM250 kepada setiap pengusaha berkenaan dan jika mereka mengulangi kesalahan itu, permohonan pembaharuan lesen untuk beroperasi pada masa depan tidak akan diluluskan," katanya hari ini.
Beliau berkata air kumbahan yang dilepaskan dan tidak mematuhi BOD boleh menyebabkan pelbagai jangkitan penyakit, termasuk virus JE.
"Pemeriksaan di ladang mendapati ia dalam keadaan bersih tetapi air sisa yang dilepaskan tidak mencapai piawaian yang ditetapkan, dan perkara ini harus diatasi segera," katanya.
Rozali juga berkata pematuhan terhadap BOD oleh pemilik ladang babi amat penting kerana di Kampung Selamat, terdapat lebih 90,000 ekor babi yang sedang diternak.
"MPSP mendapati kegagalan mematuhi BOD oleh pengusaha ladang merupakan masalah berulang kerana mereka menggunakan sistem pengurusan sisa kumbahan kaedah lama," katanya.
- Bernama

