Sampel dari 20 ladang babi bebas JE
Semua 181 sampel darah yang diambil dari 20 buah ladang babi di sekitar kawasan Kampung Selamat, Tasik Gelugor, Pulau Pinang, pada Selasa lepas didapati negatif daripada virus penyebab Ensefalitis Jepun (JE).
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Datuk Dr Mohamad Azmie Zakaria berkata jabatan itu bagaimanapun sedang meneruskan siasatan penyakit dan turut mengumpul sampel darah daripada ternakan lain.
"Aktiviti survelan juga diperluaskan merangkumi ladang babi di seluruh negeri Pulau Pinang dan negeri lain di Semenanjung," katanya dalam kenyataan.
JPV telah melakukan aktiviti pemantuan dan persampelan dari ladang-ladang babi yang terletak dalam radius satu kilometer dari Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat.
Sampel darah babi diambil ekoran seorang murid tahun enam dari sekolah berkenaan, Muhammad Ammar Muqrish Zulkiffli, koma disyaki dijangkiti virus JE dan lebih sebulan dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Baru, Pulau Pinang.
Dr Azmie berkata pengusaha ladang ternakan dinasihatkan mengetatkan kawalan biosekuriti ladang dan mempertingkatkan kebersihan persekitaran serta memastikan saliran perparitan dalam keadaan baik bagi mengelakkan pembiakan nyamuk.
- Bernama

