Yayasan Kebudayaan Sukan India Malaysia (MISCF) bertekad untuk mengembalikan zaman kegemilangan atlet India di Malaysia.

Pengasasnya Datuk T Mohan berkata MISCF adalah sebagai pusat setempat untuk membekal atlet berbangsa India untuk Malaysia seperti yang pernah digeruni dulu seperti Tan Sri Dr M Jegathesan dalam olahraga, Datuk Punch Gunalan dalam badminton dan R Arumugam dalam arena bola sepak.

"Biasanya sesebuah Yayasan dilancarkan dengan glamor tetapi MISCF ini berbeza. Kami telah bekerja sebelum pelancaran," katanya semasa ucapan pembukaan.

MISCF telahpun menganjurkan acara sukan komuniti selama tiga tahun berturut-turut dan mempunyai pasukan bola sepak di Liga FAM.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyambut baik usaha MISCF menyediakan sebuah 'blueprint' bagi menunjukkan matlamat, sasaran dan cara kerja Yayasan itu.

Khairy dalam ucapan perasmiannya semalam memberikan kerjasama penuh dan mengumumkan dana bantuan sebanyak RM300,000 dari kementeriannya.

"Kalau baik pencapaiannya maka 'vitamin' yang diterima di masa depan turut akan lebih baik," kata beliau.