Dataran Merdeka dibuka semula esok
Dataran Merdeka akan dibuka semula kepada orang ramai mulai esok susulan kerja menaik taraf kawasan padang di situ selesai, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.
Beliau berkata kerja-kerja mengalihkan pengadang di sekeliling kawasan itu akan dilakukan kontraktor mulai 10 pagi esok.
Dataran yang terletak di tengah-tengah ibu kota itu ditutup untuk kegunaan orang ramai sejak 22 Jan lalu untuk kerja naik taraf berkenaan.
"Dengan pembukaan kembali kawasan padang Dataran Merdeka ini, diharap ia dapat menarik warga kota untuk melakukan aktiviti riadah bersama keluarga.
"Malah pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mengajak warga kota beramai-ramai ke sini untuk melihat perlawanan separuh akhir Piala Dunia FIFA 2014 antara Belanda dan Argentina yang akan disiarkan di skrin besar esok," katanya pada sidang akhbar selepas melawat lokasi itu hari ini.
Projek menaik taraf melibatkan kos RM4 juta itu turut melibatkan kerja menmbah baik sistem saliran padang dan menanam rumput lebih tahan lasak dan senang diselenggara.
- Bernama

