Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu mengikuti langkah Kerajaan Pusat dalam melaksanakan Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam negeri sebagai persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pemberian bantuan khas itu melibatkan lebih 4,000 kakitangan tetap, kontrak serta sambilan dengan peruntukan sebanyak RM2.2 juta.

"Kerajaan negeri mengikut seperti apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembayaran tersebut," katanya pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri di Seremban hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Baitumal Negeri Sembilan dijangka mengagihkan bantuan berjumlah antara RM8 dan RM9 juta untuk golongan fakir miskin dan anak-anak yatim sempena Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

Mohamad berkata umat Islam berpeluang membeli barang keperluan dapur termasuk daging dan pelbagai jenis sayur-sayuran bagi persiapan Aidilfitri sempena program Mantai Perdana di Paroi, pada 25 Julai ini mulai pukul 10.30 malam.

"Pada program ini kita ada sebanyak 250 ekor lembu, 25 ekor kerbau dan beribu ekor ayam dan sebagainya," katanya.

Di Ipoh, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata sebanyak 15,000 penjawat awam negeri akan diberikan bayaran bantuan khas itu.

"Pemberian bantuan itu membabitkan peruntukan hampir RM8 juta dan akan dibayar pada pertengahan bulan ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Ipoh

Di Kuala Terengganu, Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman turut mengumumkan bayaran yang sama kepada 6,754 penjawat awam di negeri itu.

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3.337 juta bagi tujuan itu dan pemberian akan diagihkan sebelum Aidilfitri, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Kuala Terengganu.

Minggu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sempena Aidilfitri kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54 dan RM250 kepada 684,000 pesara kerajaan yang melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM890juta.

Sementara itu di Melaka, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron mengumumkan pemberian bonus kepada kakitangan anak syarikat kerajaan negeri sebanyak RM500 serta sebulan gaji kepada mereka yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Beliau bagaimanapun berkata bonus berkenaan hanya akan diberikan kepada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.

"Kerajaan negeri akan berikan bonus sebulan kepada kakitangan dari anak syarikat yang menunjukkan prestasi cemerlang manakala kakitangan yang kurang berjaya akan diberi bonus seperti penjawat awam iaitu RM500," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri.

Sebelum ini, kerajaan negeri Melaka mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.8 juta bagi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sebagai persiapan Hari Raya Aidilfitri kepada 7,586 penjawat awam di negeri itu.

Katanya pemberian bonus itu diharap dapat membantu meringankan beban kewangan kakitangan syarikat tersebut dalam menyambut Syawal.

Dalam pada itu, kerajaan Kelantan memberi bantuan khas RM500 kepada setiap kakitangannya sebagai persiapan menyambut hari raya Aidilfitri hujung bulan ini.  

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata bantuan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta itu akan dibayar pada 15 Julai ini.

"Kita berharap bantuan ini dapat meringankan beban perbelanjaan 10,000 kakitangan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Negeri di Kompleks Kota Darul Naim.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menasihatkan rakyat negeri ini supaya mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kemalangan.

Beliau juga meminta pelbagai pihak termasuk ibu bapa memberi perhatian dan menghindarkan kes kecederaan anak-anak akibat membakar mercun yang menjadi fenomena setiap kali menjelang musim perayaan.

- Bernama