Kes TBH: Pegawai SPRM bebas tindakan disiplin
Tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang dikaitkan dengan kematian pembantu politik DAP Teoh Beng Hock kini bebas daripada sebarang tindakan disiplin.
Pasukan siasatan khas SPRM, terdiri daripada jawatankuasa disiplin dan jawatankuasa aduan, membebaskan mereka daripada pelanggaran Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993, Akta SPRM 2009 serta undang-undang dan peraturan-peraturan suruhanjaya.
Perkara itu dinyatakan oleh suruhanjaya itu melalui kenyataannya kepada Malaysiakini ketika menjawab soalan portal berita itu berhubung status pendengaran terhadap ketiga-tiga pegawai itu.
Mereka yang dikaitkan ialah bekas ketua Unit Siasatan Selangor Hishamudin Hashim, pegawai pembantu penguatkuasa Arman Alies dan Asisten Superintendent Mohd Ashraf Mohd Yunus ( kanan ).
Pada 2012, Pejabat Peguam Negara turut membersihkan mereka dariapda pendakwaan jenayah.
Teoh ditemui mati di Plaza Masalam, Shah Alam pada pagi 17 Julai 2009 selepas semalaman disiasat di pegawai SPRM negeri.
Esok ulang tahun kelima kematian mendiang.

