Anggota parlimen Serdang Ong Kian Ming hari ini menuntut tindakan disiplin dikenakan terhadap Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii kerana menggesa isteri seorang wakil rakyat DAP supaya “balik tongsan” (China).
Ong dalam kenyataan hari ini menegaskan, tindakan menghalau seseorang rakyat Malaysia meninggalkan negara tumpah darahnya amat menghina.
“Lebih teruk apabila perkara ini dilakukan oleh seorang ketua Pemuda Umno yang mewakili Wilayah Persekutuan,” katanya.
Ong merujuk kepada kenyataan Razlan dalam beberapa tweet yang mensasarkan Tan Poh See, isteri kepada anggota parlimen Tanjung Ng Wei Aik.
“Isteri pemimpin DAP Tan Poh See berkata Malaysia adalah jenis negara tak guna? @imokman (identiti Twitter Ong) ask her (minta dia) balik tongsan kalau tak setia pada negara!"
"Yuki Tan (akaun Facebook Poh See)... @imokman kena ke siapa ni? Seorang isteri orang kuat DAP menghina Malaysia insiden MH17. Memalukan negara! Elok balik tongsan,” menurut tweer Razlan pagi ini.
Ekoran tragedi MH17 yang mengorbankan 298 nyawa, Tan didakwa memuat naik status di laman sosial yang menyatakan:
”Malaysia sebuah negara menakutkan, apa jenis negara tak guna ini?”
Tan kemudian memadamkan tulisan itu dan meminta maaf selepas ia mencetus kontroversi meluas dan dikritik hebat di alam maya.
