Polis kasari pelajar, termasuk wanita: GMMI
Polis hari ini dikecam kerana didakwa bertindak kasar terhadap sekumpulan pelajar pusat pengajian tinggi tempatan, termasuk wanita, yang membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Masjid Negara semalam.
Polis hari ini dikecam kerana didakwa bertindak kasar terhadap sekumpulan pelajar pusat pengajian tinggi tempatan, termasuk wanita, yang membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Masjid Negara semalam.
"Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis yang mengunakan kekerasan semasa menyuraikan pelajar di perhimpunan (itu)," kata ketua gabungan itu Syahril Mahmood.
GMMI adalah gabungan 12 persatuan pelajar, antaranya Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Sekretariat Pelajar Persatuan Ulama Malaysia (SPPUM) dan Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema).
Kira-kira 200 pelajar berkumpul di depan masjid kira-kira setengah jam selepas solat Jumaat.
"Apa yang menyedihkan lagi, polis tanpa belas kasihan telah menendang, memukul dengan rotan dan menarik baju (secara biadab) dalam keadaan pelajar tersebut tidak melawan. Tindakan ini bukan hanya dilakukan terhadap pelajar lelaki tetapi juga terhadap pelajar perempuan, ada antara mereka (pelajar wanita) yang ditarik tudung yang menjadi lambang kesucian pelajar perempuan yang beragama Islam," katanya lagi, dalam satu kenyataan kepada malaysiakini .
Syahril juga mendakwa polis bertindak demikian ketika kumpulan pelajar sedang bersurai.
"Tindakan polis (ini) jelas melanggar profesionalisme dan prosedur polis," katanya.
Polis menangkap tujuh orang, termasuk enam pelajar, dan menahan mereka di balai polis daerah Dang Wangi hampir 24 jam. Mereka dibebaskan jam 11 pagi tadi dengan jaminan polis dan dikehendaki melaporkan diri di balai itu 23 Jun depan.
"Enam daripada yang ditahan mengadu mereka ditampar dan seorang lagi mengadu diterajang pada (bahagian) perutnya oleh seorang tahanan yang berada di dalam lokap itu," kata Syahril.
Parti Keadilan Nasional turut mengecam tindakan pihak berkuasa itu.
"Sebagai warga yang prihatin, pelajar berhak menentang undang-undang yang begitu zalim seperti ISA. Perhimpunan secara aman untuk menyuarakan bantahan mereka adalah hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan," kata Timbalan Presidennya Dr Chandra Muzaffar.
Sementara Timbalan Ketua Pemuda Mustaffa Kamil Ayub pula menuduh tindakan polis itu bertujuan menakut-nakutkan golongan pelajar.
"Tindakan polis menyuraikan perhimpunan sewaktu doa dibacakan serta (dilakukan) secara kasar tidak bersesuaian dengan semangat perundingan (antara polis dengan pelajar) yang telah diadakan sebelumnya," katanya.
Foto paling atas ehsan Harakahdaily.com

