Israel isytihar gencatan senjata 7 jam
Diterbitkan: Aug 4, 2014 10:59 AM | Dikemas kini: Aug 4, 2014 11:03 AM
Israel berkata akan menghentikan serangan pada kebanyakan tempat di Semenanjung Gaza hari ini bagi memberi laluan kepada bantuan kemanusiaan dan membenarkan ratusan rakyat Palestin yang menghadapi perang empat minggu itu kembali ke rumah masing-masing.
Pengumuman yang dibuat pertama kali kepada media Palestin itu disambut meragukan oleh Hamas kerana dibuat selepas bantahan keras Washington terhadap serangan Israel di tempat perlindungan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam yang mengorbankan 10 nyawa.
“Jika gencatan senjata ini dicabul, tentera akan membalas tembakan semasa tempoh gencatan senjata ini,” kata seorang pegawainya, seperti dilaporkan
Reuters.
Menurutnya lagi, timur Rafah kini satu-satunya kawasan bandar yang masih kekal dengan kehadiran tentera dan kereta kebal, yang ditarik balik atau dipindahkan ke sempadan Gaza pada hujung minggu.
Jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri berkata, mereka tidak percaya dengan pengisytiharan sebelah pihak itu dan mendakwa ia hanya bertujuan mengalihkan pandangan daripada pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan.
Israel melancarkan serangan bermula 8 Julai. Ia disasarkan daripada udara, laut dan serangan darat hingga ke bandar-bandar yang padat penduduk.
Pihak berkuasa Gaza berkata, sehingga kini, 1,788 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awan, terbunuh dan kira-kira 3,000 rumah mereka hancur.

