Malaysia sedang memperhalusi hubungan dagangan dengan syarikat multinasional dari China, Jepun dan Amerika Syarikat yang mempunyai hubungan dengan Israel ekoran penindasan negara itu terhadap rakyat Palestin.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan syarikat tersebut bagi menilai semula hubungan mereka dengan rejim Zionis itu, lapor Utusan Malaysia.

"Sebelum mengeluarkan kenyataan muktamad (membatalkan hubungan perdagangan dengan Israel), kita perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan pihak-pihak terlibat.

"Perbincangan awal bersama syarikat dari China, Jepun dan Amerika Syarikat yang beropersi di Malaysia dan mempunyai kerjasama perniagaan telah pun diadakan.

"Perkara ini (hasil rundingan) akan diperhalusi supaya kenyataan yang dibuat nanti adalah tepat. Apapun kita akan merujuk kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Laporan itu juga menyebut, Mustapa mengakui amat sukar untuk memutuskan perdagangan dengan negara luar termasuk Israel kerana ia melibatkan banyak syarikat multinasional yang beroperasi di negara ini.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan segera menghentikan hubungan dagang dengan Israel dan kerajaan tidak perlu melakukan sebarang kajian lagi bagi tujuan itu.

"Ini satu langkah untuk kita memberi tekanan kepada negara yang zalim itu, selagi kita memberi sumbangan melalui ekonomi Israel akan terus kuat untuk membunuh rakyat Palestin," katanya seperti dilapor Harakahdaily.

Dalam laporan itu juga Mahfuz yang juga MP Pokok Sena berkata sikap berlengah-lengah kerajaan untuk membuat keputusan akan mengakibatkan lebih ramai rakyat Gaza yang tidak berdosa terkorban.

"Kita tidak perlu menjadi penyumbang kepada kematian penduduk Gaza, walaupun kita akui kita tidak terlibat tetapi dengan hubungan dagang ini secara tidak langsung penyumbang kepada keperluan ketenteraan mereka.

"Semakin lama masa diambil, semakin banyak nyawa yang terkorban. Kita gesa hentikan segera dan tiada lagi masa untuk kita duduk berbincang," katanya.