Polis Selangor siasat dakwaan sabotaj pam air
Polis Selangor menubuhkan pasukan petugas bagi menjalankan siasatan dakwaan kes sabotaj enam pam air yang dikatakan berlaku di Kolam Hang Tuah di Bestari Jaya, dekat Shah Alam pada Jumaat
lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata pihaknya menerima dua laporan berhubung insiden itu.
"Setakat ini masih di peringkat siasatan...jika ada mana-mana pihak pernah melihat kejadian ini, diminta salurkan maklumat kepada polis," katanya kepada pemberita di Shah Alam, hari ini.
Polis Selangor juga menyiasat sama ada dakwaan sabotaj itu dilakukan individu atau secara berkumpulan.
Sabtu lepas, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Beliau dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Dr Ahmad Yunus Hairi berkata enam pam air di Kolam Hang Tuah telah disabotaj pihak tidak bertanggungjawab dan meminta pihak berkuasa segera mengambil tindakan tegas.
Beliau mendakwa perbuatan khianat itu dilakukan buat kali kedua tetapi tidak menjejaskan bekalan air terawat kepada pengguna.
Namun, dalam insiden sama pada 27 Julai lepas, pam yang dirosakkan itu mengakibatkan operasi mengepam air dari Sistem Penambahan Luar Sungai Hibrid (Horas) ke sungai terganggu lima jam.
Ia menyebabkan pengeluaran air sebanyak 70 juta liter padu tergendala.
-Bernama

