MCA intai peluang dalam p'raya baru S'gor
MCA menuntut agar DUN Selangor dibubarkan dan satu pilihan raya baru diadakan susulan tuduhan yang timbul berhubung integriti Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Apabila pilihan raya baru diadakan, kami berharap BN akan dapat merampas semula kuasa di Selangor, kata setiausaha perhubung MCA Selangor Ng Chok Sin.
Katanya, parti itu yang tewas di 14 kerusi di Selangor dalam pilihan raya umum lalu berharap untuk meraih semula kerusi tersebut.
"Dari sudut pandangan kami, sekurang-kurangnya kita dapat memenangi semula beberapa kerusi, itu harap kami,” katanya.
Katanya, setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution dan parti tersebut sepatutnya mendedahkan segala bukti berhubung dakwaan berhubung isu integriti melibatkan Khalid.
Beliau turut menggesa PKR membuat laporan polis dan juga pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebelum 10 Ogos.
"Jika tidak, MCA akan membuat laporan ke atas dua agensi penguatkuasa ini,” katanya dalam satu sidang media.
Katanya PKR dan Saifuddin “perlu membuat permohonan maaf” kerana “menyembunyikan” isu integriti melibatkan Khalid.
Tambahnya, PKR tidak sepatutnya menunggu enam tahun sehingga timbul konflik tersebut sebelum isu tersebut ditimbulkan.
Ditanya sekiranya PAS dan Umno bekerjasama untuk mengekalkan Khalid sebagai MB, Ng berkata perkara itu hanya satu “spekulasi”.
Beliau ditanya demikian bagi mengulas kenyataan pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar yang berkata parti itu sanggup bekerjasama dengan PAS untuk membolehkan Khalid kekal sebagai menteri besar.
Krisis tersebut bertambah buruk hari ini selepas PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab ke atas Khalid, kerana enggan mengikut arahan supaya meletak jawatan.

