Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan "ahli keluarga" Pakatan Rakyat supaya kekal positif dengan gabungan parti pembangkang itu yang wujud dari manifestasi harapan rakyat sejak 2008.

Tanpa merujuk isu secara spesifik, ADUN Kajang itu berkata perkembangan, nada dan ritma isu politik yang dibincangkan di kalangan anggota Pakatan Rakyat ketika ini "seakan menampakkan emosi yang tidak begitu positif."

"Namun saya percaya, kita semua mahukan yang terbaik buat bukan sahaja rakyat di Selangor malah yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia.

"Rakyat mengharapkan suasana politik yang lebih positif, yang lebih progresif, yang lebih berasaskan nilai dan aqliah - yakni rakyat mengidamkan sebuah politik yang matang dan mampu memenuhi harapan Malaysia yang setelah lima dekad masih ditadbir kelompok yang sama," katanya.

Dr Wan Azizah adalah calon menteri besar yang dicadangkan PKR bagi mengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim - yang kini 'diserang' partinya sendiri kerana berkeras enggan meletak jawatan itu.

Dalam kenyataan empat perenggannya hari ini, Dr Wan Azizah turut mengingatkan Pakatan Rakyat agar terus bersatu "mencari jalan penyelesaian yang terbaik" khususnya di negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

"Saya menggesa semua ahli keluarga Pakatan Rakyat dari semua parti - bersatulah kita, rapatkan saf kita, dan marilah bersama mencari jalan penyelesaian yang terbaik bukan sahaja untuk sebuah negeri yang kita tadbir, tetapi untuk masa depan Malaysia yang lebih baik," katanya.