Bekas penolong pengarah JKR didenda RM35K
Seorang bekas penolong pengarah ukur bahan Jabatan Kerja Raya Sarawak yang dikenakan tujuh tuduhan menerima rasuah menerusi akaun isterinya tahun lalu, hari ini mengaku bersalah
melakukan kesalahan itu.
Justeru, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengenakan denda RM35,000 iaitu RM5,000 bagi setiap tuduhan.
Ismail Ahim, 60, dikenakan tuduhan rasuah pada Oktober tahun lalu daripada sebuah syarikat pembinaan.
Tertuduh mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM8,624 melalui akaun isterinya di AmBank (M) Berhad cawangan Taman Maluri antara 24 April 2007 dan 18 Januari 2008 dalam tujuh transaksi berasingan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin. Hakim Mohd Nasir Nordin menetapkan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Ismail yang diwakili peguam Fahri Azzat.
Jika gagal membayar denda, beliau akan dikenakan hukuman empat bulan penjara bagi setiap pertuduhan.

