Isu penukaran Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor sedang hangat diperbincangkan oleh rakyat Malaysia. Bahkan suasana Aidilfitri sebahagian besar rakyat Malaysia yang endah politik turut ditenggelami dek perbincangan isu ini.

Sokongan terbuka Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Khalid sehari selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat mengambil maklum cadangan dari PKR untuk mengangkat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Khalid mencetuskan perbincangan hebat dalam dan luar PAS.

Hujahnya, Khalid bersih dan tidak khianat terhadap amanah kepimpinannya. Justeru, apa perlunya Khalid diganti?

Ramai penganalisis politik menyifatkan tindakan Presiden PAS itu bakal mempengaruhi keputusan mesyuarat PAS Pusat yang dijadualkan pada 17 Ogos nanti.

Belum pun reda isu kenyataan presiden, timbul pula isu 'print screen' analisis senario gabungan PAS, Umno dan Khalid (sebagai Menteri Besar) yang diutarakan oleh Dr Zuhdi Marzuki sebagai alternatif kepada kerajaan baru di Selangor.

Politik berkait rapat dengan soal persepsi. Kesan terhadap insiden 'print screen' ini, persepsi rakyat mula terbentuk bahawa Khalid amat diperlukan oleh PAS bagi menjayakan agenda kerajaan perpaduan Umno-PAS-Khalid di Selangor.

Keadaan bertambah 'panas' apabila perenggan kedua dari mesej Dr Zuhdi dilihat amat berbaur perkauman sehingga tiada unsur hormat terhadap rakan Pakatan khususnya DAP.

Saya tidak berminat untuk berbalas hujah samada Khalid perlu dikekalkan atau diganti. Biarlah 'game' ini terus dimainkan oleh watak-watak utama politikus yang telahpun berbahas panjang bagi menegakkan premis masing-masing.

Bagi saya, krisis MB Selangor ini telah semakin jelas memperlihatkan dua jalur pemikiran dalam PAS yang ada selama ini. Para pendokong idea politik konservatif/lama dan juga pendukung idea politik baru.

Menilai 2 jalur pemikiran dalam PAS

Saya perlu bersikap adil. Jalur pemikiran politik konservatif dalam PAS bukanlah bermaksud mereka ini mundur atau kampungan. Begitu juga sebaliknya dari jalur pemikiran politik baru dalam PAS.

Ini kerana saya amat yakin orang PAS dari jalur mana sekalipun, niat akhirnya hanyalah satu iaitu bagaimana perjuangan mengangkat hukum hakam serta nilai-nilai Islam dapat ditegakkan bagi merealisasikan masyarakat yang rukun, damai dan sejahtera sesuai dengan semangat 'baldatun toyyibatun wa robbun ghafur.'

Namun, dalam 'monotonous' politik tanah air yang didominasi semangat perkauman sempit serta prejudis antara kaum yang begitu tajam hasil semaian Umno/BN, saya sifatkan jalur pemikiran politik konservatif atau politik lama dalam PAS adalah jalur politik yang tidak dapat lari dari melihat solusi kepada permasalahan rakyat menerusi kacamata perkauman.

Ia adalah acuan yang telah dibentuk lama oleh Umno/BN.

Kerana itulah rasa kurang selesa di kalangan sebahagian pimpinan dan ahli PAS terhadap keberadaan rakan tahaluf DAP dan PKR dilihat sebagai satu ancaman kepada PAS selaku sebuah jamaah Islam tanah air.

Akhirnya, wacana penggabungan PAS-Umno dilihat memiliki potensi yang akan menguntungkan perjuangan PAS atas terma kuasa politik Melayu-Islam.

Sebaliknya, jalur politik baru dalam PAS pula pada saya ialah kelompok mereka yang melihat bahawa permuafakatan politik yang dibentuk antara PAS, PKR dan DAP sebagai satu peluang dakwah yang luas buat PAS.

Justeru, sebarang percanggahan pandangan yang timbul merupakan suatu cabaran yang mesti dihadapi oleh PAS tanpa perlu berpecah dari pakatan politik yang telah dibentuk sejak 2008.

Bagi jalur ini, mengambil langkah 'melarikan diri' dari permasalahan yang timbul melibatkan DAP dan PKR tidak akan membawa parti Islam ini ke mana-mana dalam melakar politik baru tanah air.

Dengan kata lain, idea seperti menubuhkan kerajaan perpaduan hanyalah akan membawa PAS 'back to square' kepada garis politik yang dicorakkan Umno/BM yang meletakkan teori solusi beracuankan rasisme.

Pro-Abdul Hadi atau Anwar?

Sebab itu dari dua jalur dalam PAS yang dikemukakan, hakikat sebenar pertembungan adalah pada soal teras pemikiran dan pendekatan yang ingin diambil PAS.

Apakah ijtihad terbaik bagi memastikan PAS mampu memperjuangkan Malaysia yang wujud di dalamnya nilai serta hukum hakam yang adil berpaksikan ajaran Islam?

Apabila pertembungan dua jalur ini masak diperbahaskan di ruang awam oleh seluruh rakyat Malaysia, maka timbullah label-label yang pelbagai yang diasosiasikan kepada mereka.

Bagi jalur politik konservatif/lama, ia dikaitkan dengan golongan PAS yang dilihat 'mesra Umno'. Ahli-ahli PAS yang menyokong jalur pemikiran ini dilihat lebih taat dan wala' kerana ia sehaluan dengan pendirian presiden dan mursyidul am PAS yang dilihat memungkinkan perlaksanaan idea PAS-Umno-Khalid dalam menyelesaikan isu Selangor.

Dari jalur politik baru pula, label yang cukup popular ialah Pro-Anwar/Anwarinas. Terkadang dipalitkan dengan istilah kelompok 'Erdogan', 'bongkah ais' dan parasit dalam PAS.

Pandangan yang meletakkan kepentingan memelihara permuafakatan parti dalam Pakatan Rakyat dilihat sebagai mendahulukan kepentingan luar dari kepentingan parti sendiri.

Ahli-ahli yang mendokong jalur pemikiran ini dilihat 'nakal', kurang wala' dan terkini muncul istilah 'munafiq haraki'.

Apa kesudahan pertembungan dalam PAS?

Krisis yang melanda kini menjolok kepada persoalan 'mungkinkah Pakatan Rakyat berpecah?'.

Bahkan lebih dari itu, tidaklah melampau jika saya katakan sesetengah pemerhati politik sudah mula juga membincangkan apakah dalaman PAS sendiri akan berpecah?

Apakah kepimpinan sedia ada serta organisasi PAS masih mampu membendung dua jalur yang semakin ketara ini?

Apakah akan wujud parti Islam yang baru yang digerakkan oleh tokoh kepimpinan PAS yang keluar daripada PAS sekiranya perpecahan dalaman ini benar-benar gagal dibendung?

Apakah sudah tiba masanya gerakan Islam di Malaysia menuruti trend gerakan Islam moden seperti kemunculan AK Party di Turki setelah tamatnya era kepimpinan Erbakan? Atau PKS di Indonesia? Atau mungkin seperti Freedon and Justice Party (FJP) di Mesir?

Segalanya masih samar-samar. Tarikh 13 Ogos 2014 menjadi noktah penting buat masa depan politik PAS. Namun sekiranya krisis ini berlarutan dan pertembungan gagal menemui titik persefahaman dalam kerangka parti, segala kemungkinan di atas sama sekali tidak mustahil terjadi.


SHEIKH OMAR ALI anggota Pemuda PAS Johor dan pegawai di pejabat Ahli Parlimen Kluang