Pemilihan PKR, ahli Bayan Baru bawa ke ROS
Ahli PKR Cabang Bayan Baru, Prof Madya Dr Zasmani Shafiee menghantar laporan aduan berkaitan proses pemilihan 2014 cabang berkenaan di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) Pulau Pinang, Seberang Perai Utara hari ini.
Beliau berkata, pihaknya telah membuat beberapa aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat Keadilan pada 7 Mei dan menghadiri sesi pendengaran pada 23 Mei.
Bagaimanapun, tiada maklum balas daripada pihak berkenaan sehingga hari ini, katanya kepada pemberita selepas menghantar laporan aduan tersebut.
Dr Zasmani yang juga ahli seumur hidup PKR, mendakwa pemilihan parti cabang itu pada 4 Mei lepas tidak berlangsung dalam keadaan adil dan sihat.
Beliau juga mendakwa ramai anggota yang nama mereka tidak disenaraikan dalam senarai undi juga dibenar mengundi.
Manakala petugas-petugas cabang yang dilantik oleh Pegawai Pengawas, dakwanya, didapati mempengaruhi serta membantu pengundi untuk
mengundi.
- Bernama

