Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gesaan Datuk Razali Ibrahim agar kerajaan menghentikan pembinaan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) baru menimbulkan kemarahan parti-parti politik dan NGO kaum Cina.

Ia kemarahan emosi agenda politik dan bukan kewarasan untuk kepentingan agenda nasional negara. Cadangan Razali bukanlah perkara baru.

Malah sebelum ini, sudah bertahun lamanya para cendekiawan, tokoh-tokoh politik yang waras, tokoh-tokoh pendidik dan budaya,berbagai-bagai NGO dan institusi, melalui berbagai-bagai kongres, konvensyen dan seminar, bukan setakat menggesa kerajaan berhenti membina SJKC, malah tidak membenar lain-lain sistem pendidikan selain dari sekolah aliran kebangsaan.

Ia bertujuan memupuk integrasi nasional. Hakikat ini tidak boleh di persoalkan. Setiap negara mesti ada dasar nasional.

Ia mengikut sejarah asal-usul sesebuah negara, struktur dan pecahan penduduk dan yang lebih penting mengikut perlembagaan negara.

Bahasa kebangsaan negara adalah bahasa Melayu. Ini termaktub dalam Fasal 153, Perkara 2.

Cadangan ke mahkamah

Malah dipertegaskan lagi dalam Perkara 151 dan 152, di mana segala urusan rasmi kerajaan hendaklah dibuat dalam bahasa kebangsaan.

Urusan pendidikan adalah urusan rasmi kerajaan kerana ada kaitan dengan peruntukan yang melibatkan wang negara.

Maka sebab itu ada bekas-bekas hakim,tokoh pendidik dan pelbagai pihak mendesak PERKASA membawa isu SJKC, terutamanya dalam soal bantuan kerajaan ke mahkamah.

Ia bertujuan untuk memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa apa-apa bentuk pemberian kewangan kepada sekolah jenis itu adalah tidak sah dan salah di sisi undang-undang.

Jika ada mana-mana pihak mahu menubuhkan sekolah untuk mempromosi bahasa ibunda masing-masing, itu hak mereka, tetapi tidak boleh menerima dana kerajaan dari segi perlembagaan.

Ini tafsiran undang-undang setengah pihak termasuk bekas hakim.

Tetapi yang pentingnya, sekolah satu aliran boleh membawa perpaduan dan integrasi nasional.

Kucar-kacir tanpa ketegasan

Pergaulan anak-anak pelbagai kaum sejak sekolah rendah, belajar dan bertutur dalam satu bahasa tentu akan membawa integrasi yang berkesan.

Kerajaan wajib mempunyai political will jika benar-benar berhasrat untuk memupuk perpaduan nasional untuk jangka masa panjang dan mendaulatkan perlembagaan negara.

Ingat, Rukun Negara iaitu keluhuran perlembagaan dan undang-undang.

PERKASA menyeru hentikanlah pendidikan dipolitikkan. Kerajaan bertegaslah.

Dasar kucar-kacir dan rakyat berkecamuk kalau kerajaan dan pimpinan negara tidak tegas dalam memimpin dan membawa rakyat dan negara ke tuju yang betul.

Dasar penting negara tidak boleh dijadikan modal politik sempit.


DATUK IBRAHIM ALI presiden PERKASA.

Lihat Komen
ADS