7 tan makanan untuk Gaza tiba ke Kaherah
Kumpulan kedua Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) ke Gaza bersama kira-kira tujuh tan bekalan makanan dan ubat-ubatan selamat tiba di Lapangan Terbang Kaherah, Ahad.
Kumpulan 11 pengamal media, lapan sukarelawan dan seorang doktor tiba di lapangan terbang itu pukul 6 pagi waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia), lapor Bernama.
Naib presiden KP1M Datuk Mohd Farid Hassan yang tiba di Kaherah sebelumnya bersama kumpulan pertama berkata bekalan berkenaan akan disimpan di Dewan Malaysia di Abbasiah, kira-kira satu jam perjalanan dari Lapangan Terbang Kaherah.
"Kami akan cuba mendapatkan pelepasan dari kargo lapangan terbang dan mengkaji sama ada kami boleh memindahkan semua bekalan dari terminal ke Abbasiah hari ini bersama tiga tan metrik bekalan yang kami bawa sebelumnya bersama kumpulan pertama di terminal," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita di Kaherah, hari ini.
Kumpulan pertama lapan orang tiba di Kaherah, Khamis lepas sementara baki 65 anggota misi kemanusiaan diketuai oleh presidennya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dijangka berlepas dari KLIA, Selasa ini.
Mohd Farid dilaporkan berkata kumpulan pengurusan KPIM di Malaysia dan Kaherah masih berusaha mendapatkan permit memasuki Gaza.
Mereka merancang memasuki Gaza melalui sempadan Rafah bersama 40 tan metrik bekalan makanan dan ubat-ubatan, Rabu ini.
Setakat ini lebih 2,000 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, terkorban dalam serangan itu.
Lebih banyak tabung dilancar
Sementara itu, Bernama juga melaporkan, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan mula mengagihkan sebanyak 600 tabung Gaza bagi membantu penduduk Palestin di 591 buah sekolah rendah dan menengah di negeri itu.
Kumpulan Era Engineering Sdn Bhd pula menganjurkan konvoi “Jihad For Gaza” dan tabung bagi mengumpul sumbangan untuk membantu masyarakat di Palestin.
Konvoi dua hari yang bermula semalam sekitar Alor Setar hingga ke Tasik Darulaman, Jitra membabitkan 20 kereta dan motosikal bagi mengumpul sumbangan daripada orang ramai.
Manakala Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) pula berjaya mengutip sebanyak RM10,500 untuk Tabung Kemanusiaan Palestin setelah tiga hari kempen kutipan derma itu dilancarkan.

