Umno Kota Kinabalu mencadangkan kerajaan Persekutuan menambah peruntukan untuk keselamatan negara terutama di Sabah, pada belanjawan negara akan datang.

Ketua Bahagiannya Datuk Faisyal Diego berkata menerusi penambahan peruntukan itu, pertahanan negara dapat dipertingkatkan khususnya di pantai timur Sabah, lapor Bernama.

"Tiada guna kita menikmati pembangunan yang pesat kalau negara kita mudah diceroboh oleh anasir luar yang menjejaskan keamanan negara," beliau dipetik sebagai berkata.

Faisyal berkata demikian dalam ucapannya pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Kinabalu yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, di Kota Kinabalu, hari ini.

Agensi berita nasional juga melaporkan, Faisyal merakamkan penghargaan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi dan pasukan keselamatan yang bertarung nyawa menjaga keselamatan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka membentangkan Belanjawan 2015 di Parlimen pada 10 Oktober.