Mesyuarat Umno Putatan selesai tak sampai sejam
Umno Bahagian Putatan mencatat sejarah apabila selesai mengadakan mesyuarat perwakilan bahagiannya kurang daripada sejam.
Ketuanya yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin berkata mesyuarat perwakilan itu di Dewan Rakan Muda Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Negeri Sabah, berjalan dengan lancar dan pantas berikutan perpaduan jitu dalam kepimpinan dan anggota Umno bahagian itu.
"Tiada usul dibentang dan dibahaskan dalam mesyuarat kali ini," katanya dalam kenyataan semalam.
Sejurus Yahya merasmikan mesyuarat itu, Setiausaha bahagian Ishar Ramli membentangkan penyata tahunan yang berakhir pada 30 Julai 2014 diikuti Bendahari bahagian Ibrahim Laiman Diki membentangkan Penyata Kewangan UMNO Bahagian.
Tiada pemilihan wakil tujuh bahagian ke Perhimpunan Agung Umno kerana perwakilan sebulat suara memberi mandat kepada Yahya untuk memilihnya.
Terdahulu, Yahya menyampaikan sumbangan kepada 20 anak yatim dari kawasan Parlimen Putatan dan sumbangan RM1,000 seorang kepada enam ketua keluarga mangsa kebakaran selain menyerahkan sumbangan Umno Putatan untuk Tabung Bantuan Gaza.
Dalam ucapannya, beliau meminta anggota parti mengingati jasa tokoh-tokoh Umno terdahulu yang banyak membantu mendapatkan kemerdekaan negara tanpa berlakunya pertumpahan darah.
Yahya berkata semangat perpaduan, sikap toleransi, cinta tokoh-tokoh terdahulu terhadap keamanan dan kesanggupan berjuang demi agama, bangsa dan negara harus dicontohi oleh anggota Umno.
"Anggota Umno juga perlu mengelak termakan hasutan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang ingin melihat perpecahan dalam parti serta bijak menanganinya agar tidak tersasar daripada perjuangan sebenar," katanya.
Beliau turut meminta anggota parti membantu memberi kesedaran kepada penduduk berbilang bangsa mengenai pentingna hidup bersatu padu, bertimbang rasa dan saling menghormati budaya masing-masing bagi mencapai keharmonian dan keamanan.
- Bernama

