LLM: Kadar tol baru CIQ JB tak membebankan
Kesan kadar tol baharu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar, Johor Baharu adalah minimum manakala penduduk yang menggunakan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) yang menghubungkan tol di CIQ, juga tidak terbeban kerana penggunaan percuma.
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ismail Mat Salleh berkata rakyat berpendapatan rendah tidak dibebankan kerana 95,000 pengguna harian motosikal tidak dikenakan tol di CIQ.
Serta 180,000 kenderaan yang menggunakan laluan EDL dan jalan lingkaran dalam membabitkan keseluruhan 8.6km, juga tidak perlu membayar tol.
Menurutnya, dengan kadar tol baharu ini, kos pengangkutan awam bagi teksi hanya meningkat RM37.40 sebulan bagi seorang penumpang manakala kos pengangkutan bas hanya meningkat RM6 sebulan seorang penumpang.
"Dengan EDL, mengurangkan kesesakan lalu lintas di Johor Baharu dan banyak pembangunan baharu di sekitar kawasan EDL ini," katanya dalam taklimat khas bersama pengurusan tertinggi media massa dan ketua editor di Kompleks Kerja Raya di Kual Lumpur, hari ini.
Kadar tol baharu yang berkuat kuasa 1 Ogos lepas melibatkan kenderaan Kelas 1 hingga Kelas 5 dari kedua-dua arah keluar dan masuk kompleks itu, dengan arah masuk Malaysia, masing-masing RM9.70; RM14.70; RM19.70, RM4.80 dan RM7.80 manakala kadar tol arah keluar adalah RM6.80; RM10.20; RM13.60; RM3.40 dan RM5.50.
Taklimat tersebut bertujuan membetulkan persepsi negatif dan salah faham pelbagai pihak mengenai kadar tol baru itu. Projek penswastaan EDL melibatkan kos keseluruhan RM1.262 bilion dan MRCB Lingkaran Selatan Sdn Bhd diberi konsesi 34 tahun.
Menurut Ismail, pengguna yang tidak melalui CIQ tidak terkesan daripada kenaikan tol itu dan majoriti kumpulan berpendapatan rendah menggunakan pengangkutan awam iaitu bas dan motosikal ke Singapura.
Ismail berkata dianggarkan 60,000 (anggaran purata tahunan 2013) kenderaan dua hala melalui CIQ setiap hari dan daripada itu hanya 8,000 (14 peratus) kenderaan berpendaftaran Malaysia, manakala 52,000 lagi berpendaftaran Singapura.
Katanya dengan EDL, kesesakan trafik di bandar Johor Baharu terutama Jalan Tebrau dikurangkan sebanyak 50 peratus, Jalan Bakar Batu (40 peratus), jalan lingkaran dalam (antara Jalan Tebrau dan Jalan Pasir Pelangi) sebanyak 50 peratus, Jalan Pasir Pelangi (30 peratus), Jalan Skudai (10 peratus) dan JalanTun Razak, sebanyak 10 peratus.
Katanya sekiranya plaza tol terletak di laluan utama, akan menyebabkan kesesakan di Johor Baharu dan kawasan sekitar serta kos lebih tinggi dan pengguna juga terpaksa berhenti dua kali.
Ismail berkata analisa menunjukkan dengan kadar baharu tol itu, kos pengangkutan bagi kereta meningkat RM299.20 sebulan, lori kecil RM448.80 sebulan manakala lori besar RM598.40 sebulan.
Kadar lama sejak Januari 2011 masing-masing untuk kelas 1 hingga 5 adalah RM2.90; RM4.50, RM6.10, RM1.40 dan RM2.30.
Katanya kadar baru tol dilaksanakan selepas kajian kerajaan selama dua tahun dan kutipan ditangguhkan bagi membolehkan kerajaan mengkaji cadangan pengambilalihan yang kerajaan tidak teruskan kerana membabitkan kos RM2.13 bilion yang akhirnya melibatkan wang rakyat.
Ismail berkata rasional kadar baharu tol kerana membiayai kos pembinaan, operasi dan penyenggaraan EDL, membiayai kos penyenggaraan dan operasi Tambak Johor serta membiayai kos penyenggaraan kemudahan operasi CIQ-BSI.
Menurutnya kerajaan juga sedang berbincang dengan syarikat konsesi untuk mewujudkan insentif pengguna dalam bentuk 'loyalty programme' bagi meringankan beban mereka.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MRCB Imran Salim berkata kebanyakan bas yang melalui tol itu adalah bas kilang membawa pekerja dari Malaysia ke republik itu dan kos pengangkutan biasanya ditanggung pihak majikan.
Katanya satu lagi golongan besar yang bekerja di Singapura menggunakan motosikal dan motosikal turut terkecuali membayar tol di CIQ-BSI.
"Kami sedang melakukan kajian terperinci tentang jenis kenderaan...kekerapan (menggunakan tol) bagi benar-benar memahami kumpulan manakah yang benar-benar terjejas (dengan kadar baharu tol itu)," katanya.
-Bernama

