PAS tidak perlu menunggu sehingga mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos ini untuk menyatakan pendirian mereka tentang krisis menteri besar Selangor, tegas Naib Presiden PKR N Surendran.

MP Padang Serai itu berkata parti itu perlu membuat pendirian "sekarang" juga untuk bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Menyifatkannya sebagai "saat-saat genting" untuk PAS, Surendran berkata PKR dan DAP amat berharap agar rakan sekutu mereka "menegakkan pilihan demokratik" bersama dalam menghadapi krisis itu.

"Sebarang pilihan yang dibuat selain ini akan teramat merugikan PAS sebagai sebuah parti politik kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Surendran, impian dan harapan rakyat agar terzahirnya sebuah negara yang bebas daripada rasuah, kronisme dan penindasan BN kini "berada di persimpangan".

 

"PAS perlu bersama DAP dan PKR sekarang," katanya.

Krisis kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor memuncak susulan pemecatan lima exco dari DAP dan PKR semalam yang diperkenankan oleh pihak istana.

Hanya PAS yang diwakili empat orang exco berada dalam kerajaan negeri kekal berda dalam pentadbiran Khalid sekalipun kepimpinan tertinggi DAP dan PKR menggesa PAS agar memulaukan mesyuarat exco hari ini.

Bagaimanapun exco PAS mematuhi arahan partinya dan hadir ke mesyuarat bersama Khalid yang telah dipecat dalam PKR pagi ini.