Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor berkata, partinya akan berkempen 'habis-habisan' dalam pilihan raya kecil Teluk Kemang yang diadakan pada 10 Jun depan bagi memastikan calon Barisan Alternatif mencapai kemenangan.

"PAS akan berkempen seolah-olah calon PAS yang bertanding di situ. Atas semangat kerjasama Barisan Alternatif, kita akan berkempen bersungguh-sungguh tanpa mengira siapa dan parti mana yang mewakili Barisan Alternatif di situ," tegasnya.

Beliau yang juga wakil rakyat kawasan parlimen Pendang berkata, calon yang akan bertanding di situ adalah daripada Parti KeADIlan Nasional (KeADILan) atau DAP.

"Dalam pilihan raya umum lalu, calon KeADILan bertanding dengan menggunakan lambang DAP. Perbincangan sedang dijalankan oleh kedua-dua parti bagi memutuskan siapa yang akan dicalonkan kali ini," katanya kepada wartawan Isnin lalu selepas melancarkan TV web Harakah .

Semalam, malaysiakini melaporkan Ketua Penerangan KeADILan, Ruslan Kassim, akan bertanding bagi pihak Barisan Alternatif. Keputusan itu dicapai setelah dua parti utama pembangkang itu mencapai kata sepakat dan ia akan diumumkan pada hari Ahad depan.

Menurut beliau, walaupun calon PAS tidak bertanding namun semua jentera parti itu di Negeri Sembilan akan diarahkan membuka bilik gerakan di kawasan tersebut.

Dalam pilihan raya umum lalu, calon KeADILan, N. Gopalakrishnan bertanding menentang calon Barisan Nasional, S. Anbalagan

Kerusi itu kosong selepas Anbalagan meninggal dunia pada 28 April akibat serangan penyakit jantung.

Mendiang menang kerusi itu dengan majoriti 9,942 undi.

Hari penamaan calon pilihan raya kecil kawasan itu ditetapkan 30 Mei ini dan hari pengundian pada 10 Jun depan.

Menurut sumber rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daftar pemilih yang disahkan pada 24 Februari lepas mengandungi 66,646 pemilih bagi Teluk Kemang akan digunakan bagi pilihan raya kecil kali ini.

Seramai 61,641 merupakan pemilih biasa dan 5,005 pemilih pos dengan pecahan 45.44 peratus pengundi Melayu, 33.23 peratus Cina, 20.64 peratus India dan selebihnya pelbagai bangsa.