'BN sokong Khalid lebih dari MB sendiri'
BN nampaknya memberikan sokongan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim melebihi sokongan yang pernah diterima MB dari parti itu sendiri, kata MP Shah Alam Khalid Samad.
Beliau mengeluarkan kenyataan sinis itu sewaktu mengulas sokongan "ikhlas dan tanpa syarat" dari Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Khalid Ibrahim.
"Perkataan ‘tanpa syarat’ menggambarkan satu tahap keyakinan yang tidak dialami atau diterima oleh Menteri Besar Umno/BN sendiri selama ini.
"Semestinya peribadi seperti YB Ahmad Said, mantan MB Terengganu, terpinga-pinga dengan sokongan sekukuh itu.
"Sudah pasti kata-kata ‘tanpa syarat’ berdesing-desing berulang kali di telinga beliau," tulis Khalid Samad dalam blognya yang merujuk kepada krisis menteri besar di Terengganu baru-baru ini.
Khalid Samad juga berkata, selama ini ramai yang meramalkan sokongan BN terhadap Khalid Ibrahim hanya bertujuan memecah-belahkan Pakatan semata-mata dan BN akan mencapai kehendak mereka yang sebenar iaitu pembubaran DUN.
Malah, katanya, kekukuhan sokongan yang diberikan oleh BN yang dilihat tidak mengambil kesempatan membubarkan DUN menghairankan ramai pihak.
"Adakah dakwaan penentang-penentang Khalid Ibrahim selama ini bahawa BN selesa dengan kepimpinan beliau kerana BN mendapat yang diinginkan mereka terbukti benar melalui pengisytiharan ini?
"Sudah pasti sekiranya kepimpinan Khalid Ibrahim merugikan BN, maka Muhyiddin tidak akan menyokongnya. Atau adakah BN sekarang ini sudah berubah dan mementingkan ketelusan dan kecekapan pentadbiran sesebuah kerajaan negeri (tetapi hanya di Selangor) sehingga mengenepikan kepentingan politik BN sendiri?
"Sudah pasti, cita-cita pimpinan BN seperti Datuk Seri Seri Noh Omar untuk menjawat jawatan menteri besar terpaksa dikorbankan demi Khalid Ibrahim. Keikhlasan sebegitu rupa, dari ahli politik BN, sudah pasti sesuatu yang ganjil dan menghairankan bagi mereka yang tidak mengenali BN sekalipun," katanya.
Dalam tulisannya itu, Khalid Samad turut melontarkan persoalan mengenai beberapa projek di Selangor seperti Kidex dan Langat 2. Beliau mempersoalkan adakah Khalid Ibrahim kini merupakan seorang menteri besar yang telah terikat dan tidak bebas.
Khalid Samad turut membangkitkan persoalan sekiranya ADUN Pelabuhan Klang itu mempunyai perjanjian rahsia dengan BN sehingga sanggup mengendahkan arahan parti serta Majlis Presiden Pakatan.
"Walaupun soalan ini tidak akan dijawab oleh watak utama dalam drama ini, keadaan sebenarnya menjadi semakin jelas melalui tingkah-laku mereka.
“Rakyat Selangor pasti mampu membacanya dan dengan itu, justifikasi untuk menukarkan Khalid Ibrahim sebagai MB menjadi semakin difahami semua.
"Walau apa pun, kedudukan Khalid Ibrahim disokong dengan sepenuh hati oleh BN. Maka adakah ‘senario satu’ nukilan Dr Zuhdi Marzuki akan menjadi realiti atau sebaliknya semua berada di tangan PAS," katanya lagi.

